Oleh Mohd Firdaus Hashim

Putrajaya : Keputusan Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) menggantung bintang ragbi negara K Dineswaran atau mesra disapa Dugro selama seminggu, diselar jurulatih skuad ragbi kebangsaan Lee Nyuk Fah yang menyifatkannya tidak adil serta berat sebelah.

Ketika tiga pemain Emiriah Arab Bersatu (UAE) hanya dikenakan amaran dan dibenarkan beraksi bertemu Taiwan, Dugro sebaliknya dipalit dengan hukuman gantung, sekali gus khidmatnya terpaksa diketepikan untuk aksi terakhir menentang Thailand petang ini.

“Tentu saya rasa tak adil, kerana kesalahan itu lebih kepada aspek taktikal. Saya sudah meneliti rakaman video berulang kali dan saya lihat Dugro tidak berniat mencederakan pihak lawan.

“Tapi tindakan tiga pemain UAE, sebaliknya. Mereka sengaja menggunakan lutut dan menumbuk pemain dengan niat mahu mencederakan pemain kita, tapi cuma diberikan amaran.

“Keputusan itu bagi saya silap, namun terpulang kepada persatuan untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jersi terbaru ragbi tajaan Canterbury di Al-Ikhsan pusat beli-belah Alamanda Putrajaya, semalam.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Jawatankuasa Citing dan Tatatertib Kesatuan Ragbi Asia (ARFU) menggantung Dineswaran kerana didapati melakukan hadangan kasar ketika berdepan UAE yang menyaksikan Malaysia menang tipis 20-19.

Perkhabaran itu menyentap semangat pasukan kebangsaan yang kini sibuk mempersiapkan diri menjelang aksi getir bagi mengekalkan kejuaraan divisyen dua sekali gus mengesahkan tiket beraksi dalam divisyen satu musim depan.

Tambah Nyuk Fah, tempat Dineswaran yang bermain di posisi ‘lock’ mungkin bakal menjadi rebutan antara Wan Izzuddin Ismail atau Ras Hurairah Razbi.

“Memang satu kehilangan tanpa Dugro, tapi kami mempunyai skuad mantap yang mampu mengisi setiap kekosongan sekiranya berlaku sesuatu kepada pemain tonggak,” katanya.

Malaysia kini memimpin carta kumpulan dengan mengumpul 11 mata susulan kemenangan ke atas Taiwan (46-13) dan UAE sebelum ini, manakala negara Teluk itu mengekori rapat di belakang dengan tujuh mata.

Berdasarkan pengiraan mata terbaru ARFU, pasukan yang meraih kemenangan akan meraih lima mata dan satu mata tambahan sekiranya berjaya melakukan lebih daripada empat try.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:15 AM