Kuala Lumpur: Delia Arnold terus melakukan kejutan pada Kejohanan Skuasy Terbuka British apabila menewaskan pilihan kedua Raneem El Welily pada aksi suku akhir di Airco Arena di Hull, London, semalam.

Bagaimanapun pemain negara itu terpaksa berhempas pulas dalam permainan lima set sebelum menewaskan Raneem 4-11, 16-14, 10-12, 11-6, 12-10 dalam aksi yang berlangsung 68 minit itu bagi menempah tiket separuh akhir.

Delia mempamerkan aksi hambar set pertama tetapi berjaya menyamakan kedudukan pada set kedua sebelum mengekalkan aksi konsisten selepas itu.

“Saya sendiri seperti tidak percaya menang. Saya tidak tahu apa nak cakap,” katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu, ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David mara ke suku akhir selepas menewaskan Emma Beddoes dari England 11-9, 9-11, 11-8, 11-5 dalam tempoh 53 minit awal pagi semalam.

“Emma beraksi cemerlang, terutama di depan penyokongnya. Saya sedar sukar bertemunya dan tekaan itu sememangnya benar.

“Tapi selepas menang set pertama, saya mendapat semula rentak permainan pada dua set terakhir,” katanya.

Nicol bertemu Sarah Jane Perry pada suku akhir, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:16 AM