TENGKU Amirul perlu berhati-hati elak kemalangan.

Kuala Lumpur: Pengurus Motul Yamaha YY Pang Pang Yoke You memberi amaran kepada semua pelumbanya yang beraksi dalam kategori CP115 agar bersaing dengan lebih selamat khususnya pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, minggu ini.

Prestasi pelumba pasukan YY Pang pada musim ini cukup hebat apabila memenangi kesemua lapan pusingan, namun insiden kemalangan membabitkan Zaidi Mohd Zaifaizal dan Tengku Amirul Haffirudin pada pusingan lalu di Kangar, boleh dielak jika mereka lebih berhati-hati.

Meskipun kemenangan tetap menjadi milik pasukan apabila Mohd Izzat Zaidi Salehan menamatkan saingan 15 pusingan itu sebagai juara, sekali gus naik ke kedudukan teratas keseluruhan dengan 153 mata manakala Zaidy turun ke tangga kedua (139) dan Tengku Amirul ketiga (113), namun pengurus berpengalaman itu tidak mahu insiden merugikan itu berulang.

“Pelumba kami sangat kompetitif ketika ini. Baik untuk pasukan, namun ada kalanya persaingan sengit sesama sendiri seperti itu akan merugikan pasukan seperti di Kangar. Kami bukan menghalang mereka bersaing sesama sendiri kerana keputusan siapa menang atau kalah hanya ditentukan oleh mereka sendiri di litar, cuma apabila dua pelumba dari satu pasukan sama terkeluar daripada perlumbaan serentak, ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” kata Pang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:04 AM