HOSPITAL Kanser Fuda di Guangzhou, China menawarkan rawatan kanser terbaik dunia.
PESAKIT menjalani teknik rawatan CSA bagi membuang ketumbuhan melalui proses pembekuan dan pencairan.
PEMBEDAHAN dipantau melalui komputer.
ANTARA kemudahan untuk pesakit Muslim iaitu surau dan kafe makanan halal.
Oleh Zaitie Satibi


Tidak sanggup kehilangan payudara seandainya menjalani lumpektomi iaitu pembedahan membuang sebahagian daripada organ berkenaan membuatkan Nadzirah Yunus, 51, memilih terapi pembedahan beku atau cryosurgery (CSA) yang ditawarkan Hospital Kanser Fuda di Guangzhou, China. Nadzirah dikesan menghidap kanser di payudara kiri, dua tahun lalu.

Teknik rawatan CSA bukan saja tidak memerlukan pesakit kanser menjalani pembedahan secara konvensional, malah tidak berasa sakit dan tempoh pemulihan juga lebih singkat.

Namun, yang penting bagi wanita itu adalah beliau tidak perlu menjalani kemoterapi atau radioterapi yang mendatangkan pelbagai kesan sampingan sehingga menjejaskan kesihatan.

Hospital Kanser Fuda mengguna pakai teknik rawatan CSA yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan FDA negeri di China sejak 15 tahun lalu dan melakukan kira-kira 5,000 kes membabitkan 34 jenis kanser. Malah, hospital ini mendahului dalam kajian dan pengalaman CSA serta melatih ramai pakar dari seluruh dunia.

CSA adalah teknik pembuangan ketumbuhan melalui proses pencairan selepas pembekuan. Jarum cryo dimasukkan ke dalam tubuh menerusi kaedah sama ada intra­operasi, endoskopik atau suntikan percutaneous, bergantung kepada kedudukan dan saiz ketumbuhan.

Alat itu disasarkan terus kepada ketumbuhan dengan bantuan peralatan pengimejan seperti ultrabunyi, tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) sebelum dua jenis gas iaitu argon dan helium dialirkan.

Gas argon membekukan ketumbuhan dengan menurunkan suhu sehingga -160 darjah Celsius untuk membentuk hablur ais yang meliputi keseluruhan ketumbuhan terbabit.

Ketika ini, sel kanser akan mati kerana kekurangan oksigen sebelum gas helium pula meleburkan ketumbuhan yang beku itu dengan menaikkan kembali suhu sehingga 20 ke 40 darjah Celsius.

Prosedur ini diulang sebanyak dua atau tiga kali dengan keseluruhan proses mengambil masa selama 40 hingga 50 minit. Dalam proses ini, pesakit tidak perlu menjalani pembedahan konvensional bagi membuang ketumbuhan kerana sel kanser yang mati akan diserap tubuh, manakala jarum cryo pula bersaiz halus.

CSA hanya membunuh sel kanser dan tidak merosakkan sel normal lain, oleh itu tiada kesan sampingan seperti kemoterapi dan radioterapi konvensional. Teknik ini juga tiada penggunaan dos terhad, membolehkan ia digunakan berulang-kali untuk membunuh sel kanser tanpa menjejaskan sel normal.

Menceritakan semula detik disahkan menghidap kanser payudara, Nadzirah yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, beliau mendapati payudara kirinya bengkak sedikit sebelum melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) pada Mei 2013.

“Ketika melakukan PSP, saya rasa ngilu pada payudara sebelah kiri, manakala payudara sebelah kanan tidak terasa sakit. Tidak sedap hati dengan keadaan itu, saya menjalani ujian mamogram di sebuah hospital swasta disusuli ultrabunyi dan biopsi untuk lebih kepastian.

“Keputusannya memang mengecewakan apabila doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara. Sebaik disahkan menghidap penyakit berbahaya ini, saya disaran menjalani pembedahan membuang payudara yang terjejas dengan kanser,” katanya yang ditemui ketika menjalani rawatan CSA kali kelima di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Penulis berpeluang mengunjungi Hospital Kanser Fuda bagi menyaksikan bagaimana rawatan CSA dilakukan ke atas pesakit kanser atas jemputan pihak hospital itu sempena Seminar Kebangsaan Penyakit Pankreas anjuran Universiti Jinan bersama hospital berkenaan, Fakulti Perubatan universiti berkenaan dan Hospital Rakyat Kedua Shenzen yang berlangsung pada 9 hingga 13 April lalu.

Menurut Nadzirah, beliau berat hati untuk menerima saranan itu kerana tidak mahu kehilangan sebahagian payudara yang menjadi lambang kewanitaan, sebelum menemui seorang rakan yang pernah mengalami kanser sama tetapi pulih tanpa perlu membuang organ berkenaan.

“Rakan saya ini terlebih dulu didiagnosis dengan kanser payudara, malah ketumbuhannya juga besar dan kansernya di tahap empat. Saya menemui rakan berkenaan bagi meminta pendapat mengenai rawatan kanser payudara yang pernah dijalani kerana dia pulih tanpa perlu pembedahan membuang payudara.

“Dia kemudian memperkenalkan saya dengan teknik rawatan CSA ditawarkan Hospital Kanser Fuda. Malah, dia turut menceritakan kelebihan teknik rawatan CSA, di samping kemudahan lain yang disediakan untuk pesakit yang menjalani rawatan di hospital berkenaan,” katanya.

Namun demikian, Nadzirah tidak terburu-buru melakukan rawatan dicadangkan rakan, sebaliknya melakukan kajian terlebih dulu dengan mengumpul maklumat mengenai CSA menerusi Internet. Pada masa sama, beliau tidak mengabaikan penyakit terbabit dan mengambil ubat suplemen antikanser sebagai rawatan alternatif.

Selepas setahun mempertimbangkan rawatan bersesuaian bagi mengubat penyakitnya, Nadzirah kemudian mendaftarkan diri di Hospital Kanser Fuda dan rawatan pertama dijalankan pada Disember tahun lalu.

“Bukan mudah memujuk diri supaya sentiasa tabah melawan penyakit ini, tetapi sokongan anggota keluarga dan rakan sekerja yang tidak putus-putus menjadi kekuatan saya.

“Saya akhirnya yakin dan bersedia menjalani teknik rawatan CSA selepas mendapat cukup maklumat. Tambah lagi memikirkan masa depan tanpa payudara jika melakukan pembedahan konservatif.

“Malah, kemoterapi yang lazim dilakukan di pusat perubatan negara ini juga menakutkan saya kerana tidak mahu menderita kesakitan lain akibat pelbagai kesan sampingan disebabkan sebahagian sel normal turut rosak ketika menjalani rawatan membunuh sel kanser,” katanya.

Begitu juga ahli perniagaan, Mohd Yusof Musa, 54, yang enggan menjalani pembedahan konvensional dan kemoterapi bagi merawat kanser kolon dihidapinya yang merebak ke bahagian hati dan paru-paru selepas tidak tahan kesan sampingan dialami ketika kali pertama melakukan rawatan di sebuah hospital swasta.

Mohd Yusof berkata, beliau dikesan menghidap kanser pada tiga organ itu pada Oktober tahun lalu dan doktor mengesahkan penyakitnya di tahap empat serta memerlukan pembedahan membuang ketumbuhan, termasuk kemoterapi sebagai rawatan susulan.

“Saya tidak sedar menghidap kanser kerana tidak mengalami gejala awal sehingga tubuh berasa lemah, sakit perut dan pinggang, sukar membuang air besar dan sukar bernafas. Mulanya, saya mengesyaki menghidap batu karang dan mendapatkan pemeriksaan doktor sebelum terkejut apabila dimaklumkan menghidap kanser kolon tahap empat, malah penyakit ini merebak ke hati dan paru-paru.

“Kemudian saya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kolon dan kemoterapi melalui suntikan ke dalam salur darah dengan menggunakan infusi (drip), tetapi saya mengalami kesan sampingan ubat antikanser ini yang teruk dan berat badan turun mendadak sehingga 10 kilogram.

“Saya berhenti melakukan kemoterapi dan mencuba kaedah homeopati tetapi tidak mampu bertahan dengan rawatan terbabit. Selepas itu saya melayari Internet bagi mencari rawatan alternatif melawan kanser dan menemui maklumat mengenai CSA yang ditawarkan Hospital Kanser Fuda,” katanya.

Mohd Yusof tanpa berlengah mendaftarkan diri dan melakukan rawatan pertama pada Januari lalu dan selepas empat kali menerima rawatan tubuhnya menunjukkan perkembangan positif apabila beliau yang berkerusi roda boleh berjalan dan dapat membuang air besar dengan lancar.

Beliau juga berpuas hati dengan rawatan kemoterapi tempatan dilakukan hospital itu yang meng­gunakan herba tradisional Cina dan hanya membunuh sel kanser di kawasan terjejas dan tidak mengakibatkan kesan sampingan teruk.

“Pihak hospital turut menyediakan kemudahan untuk pesakit Muslim seperti ruang bersolat dan dapur memasak khas, malah dalam hospital juga ada kafe menjual masakan halal dan surau. Saya juga tidak sukar mendapatkan barangan keperluan kerana banyak kedai masyarakat Muslim di sekitar hospital,” katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Kardiotorasik dan Onkologi Invasif Minimal, Dr Li Haibo berkata, teknik rawatan CSA boleh digunakan untuk membuang ketumbuhan bersaiz kecil atau besar, kanser tunggal atau jaringan kanser termasuk kanser di tahap akhir.

“Teknik ini juga sesuai digunakan untuk membuang ketumbuhan yang terletak berhampiran organ penting yang tidak mampu dicapai menerusi pembedahan konvensional tanpa menyebabkan kerosakan sampingan.

“Prosedur dijalankan juga tidak menyakitkan dan mampu membantu melegakan kesakitan pesakit disebabkan kanser itu. Sel kanser yang mati pula akan melepaskan antigen yang merangsang sistem imun untuk membasmi sisa sel kanser, seterusnya mencegah kanser berulang,” katanya.

Katanya, antara kanser yang disembuhkan menerusi CSA ialah hati, paru-paru, pankreas, prostat, payudara dan ketumbuhan tisu lembut.

Ketua Presiden Hospital Kanser Fuda, Profesor Xu Kecheng berkata, beliau berharap pihaknya dapat memberi pilihan rawatan terbaik kepada pesakit kanser dan setiap satunya dapat menyembuhkan apa saja jenis kanser.

Menurutnya, selain CSA, turut ditawarkan ialah lapan jenis lagi terapi merawat kanser iaitu Cancer Microvascular Intervention (CMI) untuk pelbagai jenis kanser tunggal, Brachytherapy (untuk kanser pankreas, paru-paru dan prostat), Percutaneous Chemical Ablation (untuk kanser hati, paru-paru dan kanser tunggal), Photodynamic (untuk kanser esofagel, gastrik, trakea, pundi kencing, rektal, nasofaringel, kulit dan melanoma).

Irreversible Electroporation (Nano Knife) pula untuk kanser pankreas, hati, paru-paru dan tisu lembut, Combined Immunotherapy Cancer (untuk kanser tahap akhir, kanser berulang), Local Immunotherapy (untuk glioma otak) dan Traditional Chinese Medicine (untuk pelbagai jenis ketumbuhan).

“Saya sendiri pernah menghidap kanser hati dan berjaya melawannya. Disebabkan itu, saya percaya pesakit kanser boleh sembuh tetapi dengan rawatan tepat dan sewajarnya.

“Di hospital ini kami berpegang kepada dua prinsip iaitu menggunakan pilihan rawatan sewajarnya kepada setiap pesakit dan mensasarkan untuk meningkat­kan kualiti kehidupan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:01 AM