ANGGOTA bomba memandamkan kebakaran.
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Kereta dipandu remaja lelaki terbakar sebaik melanggar pokok ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di Taman Stutong Indah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, remaja berusia 17 tahun yang memandu tanpa lesen ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Song, mengarahkan remaja itu memberhentikan kenderaan kerana dia memandu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, remaja itu enggan memberikan kerjasama dan terus memecut kereta ke arah Jalan Setia Raja.

"Ketika keluar dari simpang, kereta dipandu remaja itu terlanggar lori menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas melanggar pokok di tepi jalan.

"Sebaik melanggar pokok itu, kereta mangsa terus terbakar dan polis membantu mengeluarkan remaja itu daripada dalam kereta sebelum menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan memadamkan kebakaran," katanya.

Pemeriksaan pada remaja itu mendapati dia memandu tanpa lesen dan cukai jalan kereta yang dipandu sudah tamat tempoh.

Remaja itu dibawa ke Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Kuching Tiong Ling Hii berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.20 pagi dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran hanya membabitkan 50 peratus bahagian depan kereta dan pemandu sudah dikeluarkan daripada kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:00 PM