JAMAL bernyanyi bersama penonton.
JAMAL bernyanyi bersama penonton.
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Datuk Jamal Abdillah, 56, mempunyai ramai peminat namun dia mengakui masih terasa sunyi kerana tidak mempunyai isteri.

“Saya ini seperti anda semua semestinya ingin mempunyai teman hidup (isteri), namun sehingga kini masih tidak dapat mencapai impian itu.

“Sekarang rasa terhibur kerana dikelilingi ramai peminat, tetapi apabila tiba di rumah terasa sunyi kerana keseorangan.

“Saya meminati perempuan yang bertudung dan tidak kisah dari mana,” itu kata Jamal ketika membuat persembahan di Konsert Gemilang Bersama Datuk Jamal Abdillah di sebuah hotel di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Jamal sebelum ini pernah berkahwin tiga kali. Dua daripada perkahwinan itu beliau dikurniakan dua anak lelaki iaitu Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani.

Jamal mengakui dia masih menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kerana kesunyian semakin dirasai selepas agak lama hidup solo.

Dalam persembahannya itu, Jamal menyampaikan beberapa lagu popularnya seperti Dari Sudut Kamar Hatiku, Kau Lupa Janji, Kekasih Awal Dan Akhir, Secupak Dua Cupak, Rayuan Maut, Seniman Menangis, Gadis Melayu, Azura dan Keluhan Perantau.

Sikap mesra beliau terhadap peminat terserlah apabila meminta penonton memberi tajuk lagu untuk beliau nyanyikan beberapa rangkap.

Lebih mengujakan apabila beliau turun dari pentas dan menghampiri pengunjung lalu menyanyi bersama mereka.

Konsert itu dihadiri lebih 1,000 penonton termasuk dari Singapura, Kedah, Johor, Pahang, Selangor dan Melaka bagi menyaksikan penyanyi legenda ini dari dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:01 AM
Digital NSTP Subscribe