PEMAIN, barisan kejurulatihan TRW meraikan kejayaan mara final Piala FA.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Semua pemain Kelantan adalah ‘hero’ kerana berjaya menjelmakan semangat juang tinggi membenam Pahang sekalipun tidak diberi harapan tinggi untuk layak ke final Piala FA.

Kekuatan mental dan fizikal hasil motivasi pengendali Mohd Azraai Khor Abdullah dan pengurus pasukan, Azman Ibrahim kunci utama kejayaan bekas juara Piala FA 2012 dan 2013 itu.

Bagi Azraai, pemain mengotakan janji bermain bermati-matian menentang Pahang walaupun persembahan pasukan Kelantan tidak konsisten dalam saingan Liga Super.

Namun, hasil sokongan padu semua pihak terutama penyokong, The Red Warriors (TRW) membuktikan keupayaan mereka mengalahkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu.

Azraai berkata, beliau cukup terharu menyaksikan perjuangan anak buahnya berhempas pulas memburu kemenangan.

“Kejayaan Kelantan melangkah ke final pemangkin dan penyuntik semangat mereka meneruskan baki perlawanan saingan Liga Super.

“Kita masih berpeluang layak ke akhir jika pemain bijak memanfaatkan tempoh 90 minit itu dan ternyata, mereka membuktikannya.

“Saya anggap kemenangan itu bukan disebabkan Pahang bermain 10 orang, sebaliknya semua pemain menunjukkan komitmen dan kesungguhan mereka,” katanya.

Kelantan layak ke final Piala FA menerusi aggregat 3-2 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Sultan Muhammad ke IV, malam kelmarin.

Gol Kelantan diperoleh melalui Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke 17 dan import berbisa Austin Amutu (m- 74 dan 91) manakala gol saguhati Pahang oleh K Gopinanthan (m-57).

Pahang terpaksa beraksi 10 pemain selepas Mohd Azammudin Akil dilayangkan kad merah m-32 selepas mengasari Wan Zack Haikal.

Pengendali berusia 62 tahun itu berjaya membawa TRW ke final walaupun kurang 3 bulan dilantik jurulatih gergasi pantai timur itu.

“Pemain Pahang kelihatan agak keletihan pada babak kedua dan pemain Kelantan menggunakan kelebihan itu untuk menang. Pemain sudah bersedia menghadapi LionsXII di final,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:02 AM