Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Atlet olahraga negara, Noor Amelia Musa, 29, muncul juara kategori Wanita Terbuka Cabaran Towerton Antarabangsa Menara Kuala Lumpur 2015, semalam.

Amelia yang bakal menyertai acara 1,500 dan 5,000 meter pada temasya Sukan SEA Singapura bulan depan mencatat masa 16 minit 37 saat.

Katanya, dia pernah muncul juara pada 2011, namun pada 2012 hanya menduduki tempat ketiga.

“Kali ini saya puas hati kerana mencatat masa lebih baik berbanding 18 minit tahun sebelumnya. Pertandingan ini sebagai persediaan menjelang Sukan SEA Jun ini,” katanya.

Penyampian hadiah disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.

Sementara itu, peserta dari Kenya, Enock Kipchirchir Kigen, 26, mengungguli kategori Lelaki Terbuka dengan masa 13 minit lapan saat.

Pelajar jurusan Pengajian Perniagaan Antarabangsa Universiti Hatyai, Thailand itu merangkul tempat kedua tahun lalu dan ketiga pada 2013.

Selain Lelaki dan Wanita Terbuka, enam kategori lain dipertandingkan, Junior Veteran Lelaki (40 hingga 49 tahun) Senior Veteran Wanita (50 tahun ke atas), Veteran Wanita (40 tahun ke atas) Junior Lelaki dan Perempuan (13 hingga 17 tahun) serta Orang Kelainan Upaya (OKU) 18 tahun ke atas.

Juara membawa pulang hadiah keseluruhan RM40,000, piala iringan, medal, sijil penyertaan, baucer barangan sukan serta hamper makanan, manakala peserta lelaki dan wanita yang melakukan catatan masa terbaik memenangi wang tunai tambahan RM2,000.

Sementara itu, Meor Shahril berkata, edisi kali ini disertai 3,500 peserta.

“Selain peserta tempatan, pertandingan turut menarik minat peserta antarabangsa dari New Zealand, Singapura, Filipina, Australia, Perancis, Jerman, Korea Selatan, Indonesia, Kenya, Amerika Syarikat dan Thailand.

“Penganjuran bukan saja mempromosi amalan gaya hidup sihat, malah turut menggalakkan hubungan erat antara peserta tempatan dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:03 AM