Oleh Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Pelaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST), baru-baru ini menerima banyak reaksi daripada pelbagai pihak. Rata-rata ramai mengeluh lantaran kenaikan harga barangan, sekali gus dilihat menjejaskan pendapatan boleh guna rakyat.

Selain itu, timbul juga kekeliruan mengenai isu teknikal seperti caj perkhidmatan yang dikenakan peniaga yang sememangnya menambahkan beban kepada pengguna.

Walaupun begitu, sekiranya kita mengambil beberapa langkah ke belakang, berkemungkinan kita dapat melihat permasalahan ini dari sudut pandang sedikit berbeza.

Umum mengetahui cukai gantian GST ini dikenakan terhadap perbelanjaan. Persoalannya, bagaimana pula dengan trend kepenggunaan rakyat di Malaysia ini? Bagi menjawab persoalan ini kita perlu melihat perangkaan berkaitan untuk memahami dengan lebih dekat lagi isu ingin disampaikan.

Pada dasarnya masyarakat di Malaysia sememangnya gemar berbelanja. Pernyataan sebegini bersandarkan kepada nilai Marginal Propensity to Consume (MPC) atau kecenderungan bagi seseorang pengguna itu untuk berbelanja bagi setiap kenaikan pendapatan.

Jika dilihat angka MPC bagi negara Malaysia 0.52. Ini bermakna bagi setiap ringgit kenaikan pendapatan akan menghasilkan perbelanjaan 0.52 sen.

Jika dibandingkan angka MPC ini dengan negara di Asia, sememangnya negara kita berada dalam kedudukan yang tinggi. Sebagai contoh, negara China and Singapura mempunyai nilai MPC 0.34 dan 0.31.

Filipina dan Vietnam pula mempunyai angka MPC lebih tinggi iaitu 0.68 dan 0.65. Adakah perangkaan seperti ini sesuatu yang tidak baik? Sudah tentu tidak.

Kemelesetan ekonomi pada tahun 2009 jelas menunjukkan peranan dimainkan perbelanjaan swasta apabila ia menjadi faktor pelengkap terhadap pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan pihak kerajaan pada waktu itu.

Sudah tentu kemelesetan ekonomi negara akan lebih meruncing sekiranya tidak dibantu faktor perbelanjaan swasta. Untuk rekod, pertumbuhan ekonomi negara menguncup pada kadar 1.5 peratus pada 2009 dan pulih kembali pada tahun berikutnya apabila ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 7.4 peratus.

Meskipun demikian, dalam konteks peningkatan hutang isi rumah yang diikuti pula trend penurunan dalam tabungan menggambarkan perbelanjaan penggunaan ini tersasar dan berkemungkinan berlakunya pembaziran.

Perkara ini berdasarkan kepada trend semasa dalam kadar tabungan kasar negara yang menurun kepada 29.8 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014.

Hutang isi rumah pula meningkat kepada 87.9 peratus daripada nilai KDNK dalam tempoh sama. Hakikat ini mungkin sukar diterima memandangkan angka ini bersifat aggregat iaitu angka nisbah mangambil kira jumlah keseluruhan nilai tabungan dan hutang isi rumah dalam sesebuah negara.

Tidak dinafikan terdapatnya golongan yang bijak mengawal kewangan dan perbelanjaan peribadi mereka dan begitu juga sebaliknya.

Walaupun begitu, pengajaran daripada statistik ini jelas menunjukkan terdapat keperluan meningkatkan kadar tabungan. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi semasa yang lebih mencabar seperti pelaksanaan GST yang banyak menuntut pengguna di negara ini untuk menilai semula pola perbelanjaan mereka.

Di samping itu, meningkatkan kadar tabungan adalah sesuatu yang relevan untuk dilakukan terutama dalam konteks memelihara kadar kecairan dalam sistem kewangan.

Umum mengetahui peralihan dana asing kerap berlaku dalam tempoh lebih setahun yang lalu. Perkara ini disebabkan jangkaan kenaikan terhadap kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.

Jangkaan sebegini berikutan pemulihan ekonomi mereka berterusan terutama pasaran buruh AS yang kadar pengangguran mereka mencatatkan penurunan kepada 5.5 peratus pada Mac lalu.

Dolar AS ini sememangnya matawang utama dunia. Oleh itu, sebarang perubahan terhadap dasar monetari negara terbabit sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada negara di Asia termasuk Malaysia.

Selain itu, jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan iaitu sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini juga memberi isyarat kita perlu lebih berhati-hati dalam aspek perbelanjaan harian.

Ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Sudah semestinya perumpamaan yang universal ini dapat di terima segenap lapisan masyarakat.

Penulis Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 7:01 AM