AFP

Rome: Pilihan utama Novak Djokovic mengharungi sesi pemanas badan untuk Terbuka Perancis dengan penuh bergaya apabila menang 6-4, 6-3 ke atas Roger Federer sekali gus merangkul gelaran Terbuka Itali buat kali keempat, kelmarin.

Ketiadaan juara tujuh kali Rafael Nadal selepas tersingkir di suku akhir, bintang Serbia itu mempamerkan aksi membanggakan untuk mempertahankan gelaran dan kekalahan itu yang keempat buat Federer sepanjang aksi final di Rome.

Ketika kejohanan di Roland Garros hanya berbaki kira-kira seminggu lagi, Djokovic berkemungkinan besar muncul pilihan di ibu negara Perancis itu terutama ketika aksi Nadal di gelanggang tanah liat semakin tidak menentu.

Pemain Sepanyol itu hanya menang sekali di gelanggang tanah liat iaitu di Buenos Aires dan sejak itu, dia ditewaskan pemain Itali Fabio Fognini, Andy Murray, Djokovic serta pemain Switzerland, Stan Wawrinka.

Sementara Djokovic dilihat semakin cemerlang dan Terbuka Itali gelaran kelimanya musim ini sekali gus memperbaiki rekod pertemuan dengan Federer kepada 21-18.

Jika aksi serupa terus dipamerkan, tentu sukar bagi mana-mana pemain untuk mengalahkan Djokovic di Terbuka Perancis.

Selepas menang 22 perlawanan berturut-turut, dia berkata: “Saya sudah menang banyak perlawanan berturut-turut dan ia memberi keyakinan untuk meneruskan catatan itu.

“Saya akan terus berusaha selagi terdaya, harapnya ia dapat berterusan hingga ke Roland Garros. Ia satu keutamaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 8:12 AM