FOTO ihsan APMM
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Pelabuhan Klang: Dua bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Perairan Laut Tanjung Karang selepas dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam jarak kurang daripada lapan batu nautika dari pantai, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, bot berkenaan ditahan pihaknya pada 10.20 pagi selepas menerima aduan daripada orang awam yang curiga dengan aktiviti yang dijalankan.

Katanya, susulan daripada maklumat itu, sepasukan anggota APMM dihantar untuk membuat pemantauan dan mengesan kelas B menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda dalam jarak 1.8 batu nautika dari pantai.

"Hasil pemeriksaan, empat lelaki tempatan berusia 35 hingga 40 tahun yang bekerja di atas bot berkenaan ditahan dan bot dibawa ke jeti APMM Daerah Klang untuk siasatan lanjut.

"Siasatan bagi kesalahan ini dijalankan mengikut Akta Perikanan 1965 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak lapan batu nautika dari pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 1:31 PM