BENG Hai tak kisah siapa  kendali skuad hoki negara.
BENG Hai tak kisah siapa kendali skuad hoki negara.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Tidak kira siapa dilantik, paling penting kita perlu layak ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil.”

Demikian komen Tai Beng Hai berhubung pelantikannya selaku ketua jurulatih tetap skuad hoki negara seperti diumum Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal kelmarin.

Pelantikan itu hakikatnya bukan mudah untuk Beng Hai yang sebelum ini memegang status pengendali sementara kerana beliau menggalas tanggungjawab cukup berat memastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik 2016 menerusi tiket yang ditawarkan pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium bermula 20 Jun.

“Peranan saya tetap sama sekadar bertukar status menjadi ketua jurulatih tetap saja.

“Sejak beberapa tahun lalu, saya rasa masih dalam kapasiti sama sebagai jurulatih. Jadi apabila diarahkan melatih skuad kebangsaan, saya perlu berikan sumbangan.

“Segala keputusan MHC ini hala tuju baru untuk masa depan skuad kebangsaan. Jadi siapa saja yang dilantik, perlu pastikan Malaysia layak ke Sukan Olimpik.

“Semua pihak juga perlu menerima keputusan ini dan terus memberi tumpuan, bukan isu lain selain hoki,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Persoalan siapakah ketua jurulatih tetap negara berakhir kelmarin selepas Subahan mengumumkan Beng Hai akan menggalas tugas itu manakala Neil Hawgood yang disebut-sebut pilihan utama untuk jawatan berkenaan, kekal perunding skuad negara.

Kontrak Beng Hai akan berakhir pada Julai selepas saingan di Belgium manakala Hawgood hujung Jun.

Keputusan sama ada hendak meneruskan khidmat Beng Hai serta Hawgood hanya akan dilakukan selepas berakhir saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, mengambil kira pencapaian skuad negara di kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 9:56 AM