1. BAHAN diperlukan.
2. KUPAS kulit mangga dan parut mangga dengan halus.
3. HIRIS bawang merah, cili api dan bunga kantan serta siat ikan kembung yang digoreng kemudian letakkan di dalam satu pinggan. Langkah terakhir, gaulkan semua bahan itu bersama garam secukup rasa dengan sekata.
4. HIDANGAN kerabu mangga sedia dimakan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Bukan saja sebagai pembuka selera malah hidangan kerabu mangga antara makanan yang digemari ramai tidak mengira lapisan usia.

Menggunakan mangga sebagai bahan utama, penyediaan kerabu mangga tidaklah rumit malah ia amat mudah disediakan dan tidak memerlukan masa yang lama.

Rohaidah Hashim berkata, hanya 10 minit, ia boleh disiapkan untuk dimakan bersama nasi panas atau dimakan begitu saja.

“Menggunakan mangga muda, ikan kembung goreng, bunga kantan, cili api, bawang merah dan sedikit garam, sesiapa saja dapat menyediakan hidangan itu dengan pantas.

“Ia amat bersesuaian untuk wanita berkerjaya yang sering tidak mempunyai masa panjang menyiapkan makanan untuk keluarga,” ujarnya.

Hidangan ini boleh dipelbagai mengikut cita rasa seisi keluarga contohnya penambahan kacang tanah yang dikisar halus mahupun udang kering.

“Ia juga amat bersesuaian sebagai pembuka selera kerana keenakan rasanya yang masam juga sesuai untuk mengatasi masalah hilang selera makan selain dijadikan sajian buat tetamu,” katanya.

Rohaidah berkongsi langkah penyediaan kerabu mangga yang boleh disediakan dalam tempoh hanya 10 minit.

BAHAN-BAHAN:

- Mangga Muda (Dua/Tiga Biji)

- Ikan Kembung Digoreng

- Bunga Kantan

- Bawang Merah (Dua Ulas)

- Cili Api (Dua Tangkai)

- Garam Secukup Rasa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 12:40 PM