TETAP berusaha untuk menimang cahaya mata.
TETAP berusaha untuk menimang cahaya mata.
Oleh Michelle Gun


Hasrat ratu rock tanah air Ella untuk menimang cahaya mata tidak pernah putus walaupun sudah dimamah usia.

Mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Azhar Ghazali pada Julai 2012, penyanyi berusia 49 tahun itu berkata, dia menjaga kesihatan dengan mengamalkan petua makan mengikut sunnah nabi.

“Saya dan suami sentiasa berusaha dan doakan agar saya cepat dapat anak. Pada masa sama, saya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan petua,” katanya.

Ella ditemui di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 EMI Malaysia dan Pelancaran Album Terbitan EMI dan Universal Music di ibu kota, kelmarin.

Mengenai perkembangan kerjayanya, Ella berkata, dia akan berlepas ke London hari ini untuk rakaman klip video single baru Istimewah serta persembahan di Kedutaan Malaysia di sana.

“Tak sabar melawat London kerana saya jarang melancong ke Eropah. Di London nanti, saya juga akan menghiburkan peminat serta pelajar Malaysia yang menuntut di sana,” kata­nya.

Menurut Ella, lawatan selama dua minggu di London juga termasuk rakaman travelog melawat lokasi menarik di sekitar bandar raya itu.

“Selepas kembali ke tanah air, saya akan meneruskan dengan pembikinan album baru yang hampir siap dan dijangka dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri ini,” katanya.

Protege Putera berbakat

Oleh kerana terlalu sibuk menguruskan kerjayanya, Ella berkata, dia tidak mempunyai masa untuk membantu protege Mentor Legend, Aina untuk menghasilkan karya.

“Saya sudah menjaga serta membimbing Aina sepanjang pertandingan Mentor Legend dan kini dia bebas untuk membuat pilihan sendiri.

“Memang terpaksa melepaskan dia kerana saya memang tiada masa lapang. Lebih baik Aina dibimbing pihak yang mempunyai masa dan boleh fokus dengan kariernya,” katanya.

Mengenai protege Putera pula, Ella berkata, penyanyi itu berpotensi besar dalam bidang nyanyian, malah mungkin mempunyai perancangan untuknya.

“Putera lelaki yang ringkas dan baik hati membuatkan saya sangat suka dengan caranya. Tambahan pula Putera mempunyai potensi dan rugi kalau dia tidak mengembangkan bakatnya,” katanya.

Ella berkata, pemilik nama sebenar Putera Muhammad Shamshull Kamar itu baru sahaja selesai merakamkan single baru dan berpendapat dia boleh pergi lebih jauh dalam industri seni tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 1:16 PM