Antara 6 lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. FOTO Yazit Razali
Oleh Sarah Zulkifli


Kajang: Enam lelaki, termasuk remaja 17 tahun yang dikaitkan dengan kumpulan yang merancang untuk mengebom pusat hiburan di Lembah Klang didakwa di Mahkamah Majistret di sini petang tadi atas pertuduhan mempromosikan perbuatan keganasan, di Batu 13, Hulu Langat, dekat sini, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada semua tertuduh apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad.

Mereka terdiri daripada Mohd Anwar Azmi, 33 dan Mohd Nurkamal, 30, yang juga adik beradik, Mohd Hafifi Tarmizi, 25; Izwan Shameer Suzaimi, 25; Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 22 dan remaja berusia 17 tahun itu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan pakatan jenayah dan bersetuju untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, iaitu mempromosikan perbuatan keganasan di Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat, antara 7 malam hingga 1 pagi pada 24 April.

Mereka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 3:43 PM