arena

Joshua puas hati raih perak

Oleh Firdaus Hashim

PERGURUAN selama enam minggu di Pisa, Itali gagal menghadirkan kilauan emas buat atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I-Jie apabila tewas 5-15 di tangan atlet Vietnam, Nguyen Tien Nhat dalam aksi final acara Epee lelaki.

Dia yang mengikuti latihan di bawah jurulatih tersohor dari Itali, Enrico Di Ciolo tidak mampu memberi cabaran yang dikuasai penuh lawan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Manila, hari ini.

Bagaimanapun, Joshua tetap berpuas hati dengan pingat perak diraih berbanding pencapaian dua tahun lalu di Kuala Lumpur apabila dia hanya membawa pulang gangsa.

Malah katanya, pingat perak ini turut melengkapkan koleksi pingat di mana pada temasya 2011 di Indonesia atlet berusia 28 tahun itu memenangi emas.

"Saya sudah berjaya melengkapkan koleksi pingat Sukan SEA kali ini. Sudah pasti saya kecewa kerana tidak menjadi juara tetapi saya perlu terima hakikat ini. Saya perlu akui lawan saya beraksi lebih baik dan berjaya membaca taktikal saya. Diharapkan, saya mampu melakukan lebih baik pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, dua atlet iaitu atlet Vietnam, Nguyen Phuoc Den dan Jose Noelito Jr dari Filipina berkongsi pingat gangsa.Sebagai rekod, Joshua yang mula aktif dalam sukan itu sejak 2003, memenangi gangsa acara berpasukan pada penampilan sulung di Sukan Sea 2007 Korat sebelum merangkul emas individu dan gangsa berpasukan pada edisi 2011 serta gangsa acara individu pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Dalam Sukan Asia, Joshua hanya mampu mara ke pusingan 32 pada edisi 2010 dan pusingan 16 pada edisi 2018.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 7:44pm
    d