BERANI, tabah dan tidak mengaku kalah antara ciri utama wanita dalam permainan video.
BERANI, tabah dan tidak mengaku kalah antara ciri utama wanita dalam permainan video.
Oleh Hazril Md. Nor

Dalam dunia digital, agak jarang kita dipersembahkan dengan watak utama yang terdiri dari wanita. HAZRIL MD NOR kongsikan empat karakter wanita yang membawa perubahan dalam industri permainan video.

Jika diperhatikan, rata-rata karakter wanita ditampilkan dalam dunia digital seringkali sukar menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling tidak seperti watak lelaki yang lebih hebat dan berupaya menangani apa saja situasi.

Namun, terdapat beberapa permainan video mengutamakan pesona wanita sebagai karakter yang boleh membawa kejayaan dan memberikan inspirasi kepada pemain. Langkah ini sekali gus menghilangkan tanggapan yang menganggap lelaki lebih hebat dari wanita.

Lara Croft (Tomb Raider)

Bukan mudah untuk memperkenalkan watak utama yang boleh menentukan kejayaan sesebuah permainan video. Itulah antara benteng yang menghalang pengeluar permainan video memaparkan wanita sebagai karakter penting.

Namun, Lara Croft ternyata berjaya menghapuskan tanggapan itu dengan ketangkasan dan kebijaksanaannya mengawal situasi sama seperti karakter lelaki lain.

Malahan, Lara digambarkan sebagai wanita yang berani berjuang dan tidak gentar dengan cabaran walaupun bersendirian.

Dalam keluaran sekuel Tomb Raider yang baru, Lara lebih kompleks dan mewarisi kepandaian mengatur strategi perlawanan. Bijak menggunakan senjata dan busur, Lara dikategorikan sebagai karakter wanita paling berpengaruh dan memberi inspirasi dalam industri permainan video.

Ellie (The Last of Us)

Seperti mana karakter Lara Croft dari Tomb Raider, Ellie antara karakter perempuan yang tabah hasil dari kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Dalam Last of Us, Ellie mungkin ditafsir sebagai watak yang sentiasa berada dalam kesusahan bersama Joe yang perlu menjadi pelindung. Namun, Naughty Dog mengubah karakter Ellie agar tidak stereotaip seperti kanak-kanak perempuan lain.

Jika anda menyelami plot permainan ini, anda akan mendapati kekuatan Ellie bukanlah datang dari kebolehannya untuk mempertahankan diri dari serangan mayat hidup tapi bagaimana ketabahan dirinya menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Andai kata dunia ini ditimpa virus mayat hidup, adakah anda sebagai wanita mampu melawan ketakutan dan menjadi seorang yang berani? itulah yang cuba disampaikan melalui karakter Ellie.

Clementine (The Walking Dead)

Agak janggal jika kita katakan kanak-kanak berusia lapan tahun lebih berkebolehan berbanding mereka yang lebih tua. Namun, semuanya boleh menjadi kenyataan dalam permainan video.

Walaupun masih kecil, Clementine ternyata berani dan tabah menghadapi situasi yang sukar. Dalam The Walking Dead, dia tidak pernah mengalah dari berjuang untuk terus hidup mencari kebebasan.

Sepanjang pembentukan karakternya dalam siri berkenaan, Clementine pada mulanya lemah dan selalu bergantung harap pada Lee yang selalu melindunginya. Namun, wataknya terus memberikan inspirasi dalam siri kedua apabila karakternya diberi transformasi. Ia menunjukkan dia kian matang dan berkebolehan dalam pelbagai perkara.

Jaina Proudmoore (World of Warcraft)

Mempunyai kuasa yang tiada bandingannya pasti menjadikan seseorang itu gah kerana boleh melakukan apa saja. Namun, Blizzard inginkan kelainan dalam pembentukan karakter wanita yang penting.

Jaina Proudmoore adalah seorang tukang sihir yang tiada taranya. Walaupun berkebolehan mengawal elemen ais untuk menghancurkan apa saja yang menghalang, Jaina mempunyai satu misi iaitu menggunakan kebolehannya membentuk dunia menjadi tempat lebih selamat dan menyatupadukan kaum berlainan jenis seperti ditonjolkan dalam World of Warcraft.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 12:43 PM