X
RAMSAY
RAMSAY
DONNA
DONNA

Detroit: Seorang wanita yang didapati bersalah mencekik hingga mati anaknya sebelum memotong mayat mangsa memberitahu mahkamah, semalam: “Saya bukan ibu yang terbaik.”

Menurut laporan akhbar tempatan, Donna Scrivo, 61, dituduh membunuh anaknya, Ramsay, 32, dan memotong mayatnya dengan gergaji pada Januari 2013.

Pendakwa raya berkata, Donna kemudian memasukkan anggota tubuh mangsa di dalam lima beg plastik sebelum membuangnya di merata tempat di St Clair County, kawasan pedalaman di timur laut Detroit.

Dia dirakam oleh kamera ketika membeli gergaji yang kemudian digunakan untuk memotong mayat Ramsay.

Wanita itu yang juga jururawat berdaftar sebelum ini menafikan terbabit dalam pembunuhan itu, sebaliknya mendakwa ia dilakukan seorang lelaki bertopeng.

Ketika membela diri, Donna memberitahu mahkamah di Macomb County, lelaki itu membunuh anaknya dan mencincang mayat mangsa sementara dia digari di bilik tidurnya dengan mulutnya disumbat dengan kain selama lima hari.

Juri bagaimanapun enggan mempercayai ceritanya dan mendapati wanita berkenaan bersalah atas tuduhan membunuh dengan niat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 7:08 AM