mutakhir

Selesai masalah negara, lepas jawatan - Tun M

Oleh Anwar Hussin

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas menyelesaikan masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri juga mengulangi kenyataannya sebelum ini yang beliau tidak akan memungkiri janji untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sudah berjanji akan meletak jawatan selepas saya menyelesaikan masalah utama yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya berjanji akan melepaskan jawatan dan memberi kepada calon yang dinamakan oleh gabungan (Pakatan Harapan),” katanya kepada wartawan Al Jazeera di Forum Doha 2019.

Perjanjian bersama antara pemimpin parti komponen Pakatan Harapan juga menyatakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan menyerahkan jawatan kepada Anwar yang juga Presiden PKR, pada tarikh yang belum diketahui.

Ketika ditanya wartawan Al Jazeera, sama ada beliau akan meletak jawatan selepas 2020, Dr Mahathir berkata, beliau akan berbuat demikian selepas menyelesai masalah utama yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Dr Mahathir juga berkata, beliau mempunyai pengalaman buruk terhadap penggantinya ketika melepas jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya menamakan pengganti (ketika itu) tapi beliau gagal (melaksanakan tugas dengan baik),” katanya,

Dr Mahathir berkata, masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu sangat besar dan ia tidak boleh diselesaikan dalam satu malam.

Katanya, kerajaan diberi mandat lima tahun bagi mencapai objektif yang diperlukan dan dalam masa setahun setengah pemerintahan, banyak yang sudah berjaya dilakukan.

“Kewangan negara juga kini semakin baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2019 @ 12:53am
d