London: Keletihan menyebabkan Arsenal sekadar seri 0-0 dengan Sunderland awal pagi semalam sekali gus menamatkan usaha mereka memburu tangga kedua Liga Perdana, ujar pengurus Arsene Wenger.

Arsenal gagal memecah kedegilan benteng Sunderland, yang memastikan status liga utama dengan satu mata.

Ketika seri sudah mencukupi untuk meraih tangga ketiga dan tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan, ia keputusan mengecewakan buat Wenger yang menyatakan pasukannya letih selepas seri 1-1 dengan Manchester United, Ahad lalu.

“Kami tidak mampu menjaringkan gol dan Sunderland bertahan dengan mantap, sesuatu yang difahami kerana mereka sedar boleh selamat malam ini. Kami mencuba dan mencuba,” jelas Wenger.

“Kami bermain sepenuh hati Ahad lalu dan anda boleh lihat mereka tidak bermaya malam ini. Sekurang-kurangnya kami tidak dibolosi dan mendapat mata penting.

“Kami tidak begitu garang, tidak cukup pantas. Secara fizikal kami tidak cergas sepenuhnya. Kami bermain kira-kira 58 perlawanan dan anda boleh lihatnya.”

Pasukan Wenger yang unggul tiga mata di depan pasukan tangga keempat United dengan perbezaan jaringan lebih besar, menamatkan kempen liga di laman sendiri menentang West Brom, Ahad ini sebelum bertemu Aston Villa pada final Piala FA, 30 Mei ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:09 AM