X
Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (gambar) mengesahkan skuad Peteh kekal beraksi dalam Liga M.

Menurutnya, selepas berbincang dengan jawatankuasa PBSNT berikutan amanat diberikan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Terengganu membatalkan hasrat menarik diri itu.

“Atas semangat kesukanan serta sokongan pelbagai pihak, PBSNT memutuskan akan terus bersaing dalam kancah Liga Super walaupun terpaksa menelan kepahitan gagal ke final Piala FA.

“Selain itu, PBSNT berharap dengan pengumuman ini tidak ada pihak menangguk di air keruh sebaliknya memberi kepercayaan kepada kami untuk membentuk pasukan mantap,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sehari selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan LionsXII, Ahmad Razif mengancam menarik penyertaan Terengganu daripada saingan liga andai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak melakukan siasatan terperinci termasuk membenarkan perlawanan ulangan berikutan kontroversi gol keempat skuad Peteh dibatalkan pengadil.

Ia berlaku selepas pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob membatalkan jaringan Ahmad Nordin Alias pada minit terakhir perlawanan selepas mendakwanya ofsaid walaupun pada awalnya sudah mengesahkan jaringan terbabit.

Berikutan tindakan Amirul Izwan dan penjaga garisan Azman Ismail, ribuan penyokong tuan rumah yang tidak puas hati bertindak merusuh sebaik tamat perlawanan dengan membaling batu, membakar ambulans dan merosakkan harta benda di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Mengulas lebih lanjut, Wan Ahmad Nizam turut berharap insiden panas itu dapat dijadikan pengajaran berguna kepada semua pihak termasuk FAM, pengadil, pemain dan juga penyokong.

“Kami harap insiden terbabit tidak akan berulang dan semua pihak perlu melihat perkara itu dengan lebih serius,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap FAM dapat meneliti pengadil yang akan mengendalikan sesuatu perlawanan supaya peristiwa itu tidak berulang terutama kepada skuad Terengganu.

“PBSNT mengharapkan FAM meneliti rekod pengadil dan penjaga garisan yang mengadili sesuatu perlawanan supaya tidak berlaku perkara yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati pasukan dan peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:21 AM
Digital NSTP Subscribe