Kota Bharu: Kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi menganggap pertemuan menentang LionsXII pada pentas akhir Piala FA malam esok bukan sekadar perlawanan biasa sebaliknya pertembungan maruah dua negara.

Badhri atau Piya mengibaratkan Kelantan mewakili 34 pasukan dari Liga Super, Perdana selain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri.

Katanya, bertemu Lions
XII, satu-satunya kelab dari Singapura memerlukan dia serta rakan sepasukan berjuang bermati-matian, bagi memastikan piala itu kekal di bumi Malaysia.

“Jika sebelum ini, trofi Liga Super sudah menyeberangi Tambak Johor selepas Lions
XII menjuarainya musim lalu, maka kita mempunyai misi untuk halang niat pasukan itu bawa Piala FA ke negara mereka.

“Walau sukar sekali pun kami akan tetap berjuang demi maruah negara.

“Kami sudah diberi motivasi secukupnya selain kata-kata semangat oleh ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah dan pengurus pasukan Azman Ibrahim,” katanya yang akan sentiasa memastikan rakan seangkatannya tidak leka.

Badhri mengakui sukar untuk mengagak peluang Kelantan menguasai perlawanan akhir itu, namun lebih senang meletakkan mereka di paras seimbang dengan pasukan lawan.

Yang pasti katanya, dia tidak mahu membiarkan rakan sepasukan membuat kesilapan kerana kesalahan kecil boleh mengundang kecelakaan.

Badhri ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan produk Kopi Jantan keluaran GLE Centre Enterprise (GLE Centre) di Cafe TRW semalam. Dia ialah duta produk itu yang turut mengeluarkan makanan kesihatan.

Hadir menyerahkan sumbangan Pengarah Urusan GLE Centre Mohd Zulkifli Harun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:22 AM