Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi mahu membuktikan sentuhan ‘magis’ masih dimilikinya untuk membantu The Red Warriors (TRW) meraih kejuaraan ketiga Piala FA.

Prestasi perancang tengah yang dikenali sebagai Piya itu mendapat kritikan hebat penyokong musim ini namun dia dilihat semakin konsisten membantu pasukan.

“Memang saya akui kebelakangan ini prestasi kurang sedikit. Namun saya akan melakukan yang terbaik demi pasukan,” katanya.

Badhri antara tonggak utama membantu Kelantan melangkah ke final sebanyak lima kali sejak 2009.

Selepas kecewa pada 2009 dan 2011 apabila tewas kepada Selangor dan Terengganu, Kelantan akhirnya menjulang Piala FA pada 2012 (menewaskan Sime Darby 1-0) dan 2013 menumbangkan Johor DT 1-0.

Badhri bakal mengemudi jentera serangan bagi membantu bahagian serangan meledak gol lawan yang dikawal penjaga gol kebangsaan Singapura Izwan Mahbub.

“Kami akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan Piala FA di Malaysia. Perlawanan ini ibarat maruah negara dan perlu dipertahankan,” katanya.

Sementara itu pengurus pasukan Azman Ibrahim berkata, mereka akan bermain mati-matian untuk memastikan trofi dibawa pulang.

“Walaupun lawan tidak mempunyai pemain import, mereka amat berdisiplin dan memiliki tahap kecergasan tinggi. Saya berharap pemain dapat mengekang pergerakan lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 6:10 AM