NAIB Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PETRONAS, Datuk George Ratilal (kiri) dan Wan Zulkiflee (kanan) pada sidang akhbar, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mencatatkan penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 38 peratus kepada RM16.95 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2015 berbanding RM27.21 bilion bagi tempoh masa sama tahun lalu.

Selain itu, kumpulan terbabit turut mencatatkan jumlah hasil lebih rendah pada suku pertama tahun ini iaitu sebanyak 21 peratus kepada RM66.91 bilion berbanding RM84.5 bilion dalam tempoh masa sama bagi 2014.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, prestasi lemah itu disumbangkan melalui purata harga yang didapati rendah membabitkan semua produk dan harga minyak lebih rendah.

“Walau bagaimanapun, prestasi suku ini sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih tinggi bagi minyak mentah dan gas cecair asli (LNG) serta pergerakan positif kadar pertukaran dolar berbanding ringgit,” katanya pada sidang media sempena pengumuman prestasi suku pertama Petronas di sini, semalam.

Beliau berkata, Petronas akan meneruskan langkah untuk menangani situasi terbabit dengan melaksanakan amalan pengurangan kos dengan meningkatkan nilai melalui rundingan semula kontrak huluan dan keberkesanan operasi di peringkat pengurusan dalaman.

Menurutnya, Kumpulan itu memperuntukkan kira-kira RM70 bilion bagi perbelanjaan modal (capex) bagi tahun ini dan menetapkan penjimatan kos sebanyak 15 peratus bagi capex dan 24 peratus bagi perbelanjaan operasi.

“Walaupun dalam situasi tidak menentu, kami masih memperuntukkan jumlah capex lebih besar berbanding RM60 bilion tahun lalu dengan RM54 bilion bakal digunakan untuk pengambilalihan di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 7:01 AM