RUMAH yang hangus dalam kebakaran di Kampung Alur Tembesu, Dungun.
Oleh Rosli Ilham

Dungun: “Saya terpaksa pikul nenek dan mengheret dua anak saudara menyelamatkan diri kerana api sudah marak,” kata Khairul Fikri Din, 23, selepas rumah kediamannya di Kampung Alur Tembesu, di sini, hangus dalam kebakaran, pagi semalam.

Khairul berkata, kebakaran itu kira-kira jam 9 pagi menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan sebarang harta benda.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru pulang daripada kerja syif malam dan sempat melelapkan mata seketika dan ketika kejadian ibunya, Zaleha Razak, 52, pula sedang bekerja di sebuah kedai makan tidak jauh dari rumahnya.

“Ketika kejadian, saya bersama nenek dan saya tidak sedar adik saya, Nur Shuhada, 21, ada meninggalkan dua anaknya di rumah. Adik saya dikatakan tinggalkan anaknya di rumah sebentar kerana menghantar suaminya bekerja.

“Saya yang terlelap terkejut daripada tidur apabila terdengar nenek meraung memaklumkan rumah kami terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 8:59 AM