IPPO Hafiz terpikat dengan asam pedas.
IPPO Hafiz terpikat dengan asam pedas.
Oleh Zaitie Satibi

Menu sajian utama disediakan ringkas saja iaitu asam pedas dan nasi lemak pandan, tetapi rasanya memang terangkat membuatkan pelanggan akan datang lagi tanpa berfikir panjang. Inilah keunikan The Warunk, kedai makan berkonsep ala ‘hipster’ atau rojak yang baru dua bulan dibuka di Taman Gelora, Kuantan, Pahang.

The Warunk terletak di tepi laut dengan pemandangan matahari terbenam yang indah dan tidak jauh dari pusat bandar serta pusat percutian terkenal, Teluk Cempedak, pastinya antara pilihan terbaik untuk bersantai sambil menikmati makan malam bersama rakan dan keluarga.

Persekitaran kedai makan yang dihiasi pokok ru menyebabkan pelanggan berasa nyaman, secara tidak langsung menggamit mereka terus menghirup udara segar di tepi pantai sambil menjamu selera.

Menurut pengusahanya, Muhammad Muslimi Abdul Rahim, 32, sebelum membuka The Warunk bersama seorang rakan dia berniaga kecil-kecilan di bazar menjual juadah berbuka puasa, di samping mengambil tempahan untuk jamuan.

“Ketika itu memang ada hasrat untuk mengembangkan perniagaan makanan ini, tetapi masih belum berpeluang sehingga mendapat tahu ada premis kosong di Taman Gelora. Nasib menyebelahi saya apabila seorang rakan sudi berkongsi modal dan sama-sama mendapatkan tapak seterusnya membuka kedai makan ini.

“Perkataan warunk digunakan kerana mudah diingat, tetapi ejaannya diubah bagi membezakan dengan premis lain yang menggunakan nama sama. Konsep ala hipster pula menambat hati pelanggan yang ingin bersantai sambil menikmati hidangan ringkas menyelerakan,” katanya.

Asam pedas disediakan bersama nasi putih, ulam, ikan masin dan sambal belacan. Harganya bergantung kepada jenis ikan iaitu kembung (RM7), pari (RM8), siakap (RM9) dan kepala siakap (RM10). Nasi lemak pandan pula dijual antara RM2 hingga RM6 bersama pilihan lauk telur goreng, ayam goreng, rendang kerang dan sambal paru.

Selain hidangan utama yang lazat, The Warunk menghidang­kan menu pencuci mulut seperti kek Manggo Cheese (RM6), aiskrim Banana Split (RM5) dan keropok lekor Losong (RM3). Bagi minuman istimewanya, paling terlaris adalah Air Racun iaitu gabungan Ribena bersama soda, lemon dan laici serta air Fruitty Pineapple hasil campuran nanas, susu pekat dan oren Sunquick.

The Warunk menawarkan persekitaran mesra dengan semua tempat duduk luas dan selesa serta mempunyai penataan cahaya terang, sesiapa yang berkunjung pasti terpikat dengan suasananya. Pelanggan yang singgah menikmati juadah pasti tidak lupa merakam gambar sebagai kenangan untuk tatapan sebelum dimuat ke dalam laman sosial.

Kedai makan ini juga mengambil tempahan untuk majlis hari jadi, makan malam keluarga, kesyukuran dan lain-lain. Turut ditawarkan pakej fotografi berlandskap keindahan pantai dan dekorasi premis.

Keenakan masakan di restoran ini turut diakui penyanyi runut bunyi drama Teman Lelaki Upahan dengan lagu bertajuk Rahsia, Ippo Hafiz.

Baginya, hidangan asam pedas ikan pari yang disajikan tidak mengecewakan. Dengan kuah pekat dan merah, rasanya sedap dimakan dengan nasi panas serta ulam-ulaman segar.

Angin laut bertiup sepoi-sepoi bahasa menambah rasa enak yang tidak terungkap dengan kata-kata.

“Jujur saya katakan masakan asam pedas di sini paling enak kerana rasanya lengkap dengan pedas, manis, masin dan masam sehingga mampu mengecurkan liur. Saat menghirup kuah­nya kali pertama sudah terbayang keenakan asam pedas di kampung halaman ayah di Melaka.

“Malah, nasi lemak pandan juga ditambah beberapa lauk seperti telur rebus, bilis goreng, rendang kerang, ayam goreng berempah dan sambal paru. Saya turut meng­gemari Air Racun campuran soda dan Ribena yang diadun dengan baik,” katanya.

Ippo Hafiz yang bakal tampil sekali lagi menyanyikan runut bunyi untuk drama Hidayahmu Ramadan di slot Samarinda TV3 berkata, dia menyenangi konsep kedai makan yang disifatkan semula jadi di tepi pantai dan jauh dari hiruk-pikuk bandar serta penataan cahaya umpama di bawah sinaran bulan me­ngambang.

“The Warunk sesuai dijadikan tempat berkumpul bersama rakan dan keluarga menikmati hidangan pada harga berpatutan.

“Paling menenangkan kakitangan kedai memetik gitar memainkan lagu akustik untuk pelanggan. Lebih menghiburkan ada pelanggan sendiri tumpang sekaki menyanyi dan bermain muzik bersama mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:00 AM