Oleh Rizar Mohd Nor
rizar@hmetro.com.my


Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mario Gomez mengesahkan dua tonggak utama skuad itu tidak dapat diturunkan pada aksi pusingan kedua kalah mati Piala AFC apabila berdepan Ayeyawady United FC di Stadium Larkin, Rabu ini.

Walaupun tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol, Farizal Marlias dan benteng pertahanan, Mohd Fadhli Shas yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning, ia tidak menggusarkan pengendali dari Argentina itu.

“Saya tidak risau dengan ketiadaan Farizal untuk menjaga gawang Johor DT dan Fadhli di benteng kerana sudah ada pengganti yang mampu menggalas tugas apabila berdepan kelab dari Myanmar itu.

“Ada dua penjaga gol simpanan Izham Tarmizi Roslan dan Muhammad Al-Hafiz Hamzah yang setanding dengan Farizal dan mereka mampu menggalas tugas.

“Di posisi benteng pula kemungkinan Junior Eldstal atau Hariss Harun akan mengambil alih tugas ditinggalkan Mohd Fadhli untuk bergandingan bersama Marcos Antonio.

“Kita beraksi di laman sendiri dan kelebihan itu harus digunakan sepenuhnya untuk memburu kemenangan bagi melayakkan diri ke suku akhir tetapi saya mahu pemain waspada dengan ancaman pasukan bimbingan Marjan Sekulovski,” katanya

Gomez mengakui tidak mengetahui lebih mendalam corak permainan Ayeyawady United dan hanya menyaksikan rakaman video pasukan itu beraksi pada saingan Kumpulan H.

Apapun kehadiran semula Jorge Pereyra Diaz disambut baik Gomez yang berharap jentera serangan kembali lebih berbisa bergandingan bersama Luciano Figueroa untuk menggempur benteng lawan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:21 AM