Kuala Lumpur: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) menyasarkan untuk terus meningkatkan penawaran produk Islam dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2016.

Ketua Pegawai Kewangannya, Mandy Simpson berkata, lebih banyak aset dan inisiatif diperuntukkan kepada perbankan Islam dan segmen PKS pada tahun kewangan 2016.

Kumpulan itu baru-baru ini melaksanakan langkah penjenamaan semula dengan AmIslamic Bank yang kini dikenali sebagai AmBank Islamic Bhd. Penjenamaan semula itu bertujuan menempatkan jenama Islam dengan lebih menonjol dalam industri kewangan.

“Bahagian penawaran produk Islam AmBank dijangka terus berkembang kepada 33 peratus pada tahun kewangan 2016, berbanding 32 peratus dan 30 peratus, masing-masing pada tahun kewangan 2015 dan tahun kewangan 2014,” katanya pada sidang media sempena pengumuman keputusan tahun kewangan 2015 kumpulan itu.

AmBank Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai tinggi sebanyak RM2.604 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, naik 6.3 peratus berbanding RM2.448 bilion yang dicatatkan pada 2014. Keuntungan selepas cukai meningkat 9.3 peratus dan melepasi paras RM2 bilion untuk mencecah RM2.044 bilion berbanding RM1.871 bilion sebelum ini, disokong oleh pendapatan bukan faedah dan elaun yang lebih rendah.

“Bagaimanapun, pada tahun kewangan 2015, pertumbuhan pinjaman AmBank Group merosot sebanyak 1.6 peratus,” katanya yang disebabkan dasar pengurangan risiko portfolio pembiayaan kenderaan kumpulan itu.

Kumpulan itu menjangka mencapai pertumbuhan perniagaan antara 4 dan 5 peratus bagi tahun kewangan 2016, sejajar dengan sasaran pertumbuhan pinjaman antara 4 dan 5 peratus juga bagi tahun berkenaan.

Sementara itu, Datuk Mohamed Azmi Mahmood telah memangku sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dari 2 April, mengambil alih daripada Ashok Ramamurthy yang kontraknya tamat pada 1 April.

“Agenda strategik tahun kewangan 2015-2017 kekal tidak berubah,” katanya sambil merujuk kepada agenda kumpulan itu untuk mencatatkan pertumbuhan organik yang berfokus, memanfaatkan perkongsian strategik dan melaksanakan pengambilalihan, terus mengoptimumkan kecekapan dan membina kemapanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 10:45 AM