MOHD Mokhtar (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Lapan individu ditahan termasuk dua warga asing dari Sri Lanka dan India dan 34.76 kilogram syabu serta 18,651 pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM10 juta dirampas dalam serbuan, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lapan suspek terbabit ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 22 dan 23 Mei lalu termasuk menemui makmal pemprosesan dadah dan stor penyimpanan bahan kimia.

"Polis turut merampas peralatan memproses dadah selain bahan kimia yang kami percaya di bawa masuk melalui negara India," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, semua suspek berusia 29 hingga 43 tahun dipercayai akan memasarkan dadah yang siap diproses ke Indonesia selain pasaran tempatan.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga 29 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 12:44 PM