Skip this ad x

Kuala Lumpur: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta), dahulu dikenali sebagai Faber Group Berhad, penyedia pengurusan aset menyeluruh memperoleh beberapa kontrak utama dalam dan luar negara bernilai lebih RM4.72 bilion dari tahun lalu hingga tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmir Merican berkata, kontrak itu terdiri daripada perkhidmatan pengurusan aset bernilai RM1.03 bilion bagi hospital wanita dan kanak-kanak dalam tempoh 27 tahun serta perjanjian konsesi baru 10 tahun bagi perkhidmatan sokongan hospital dengan nilai RM3.07 bilion.

“Untuk luar negara, kami berjaya memperoleh enam kontrak penyelenggaraan dan operasi lebuh raya bagi Lembaga Pengangkutan New Zealand dengan nilai melebihi 35 juta NZD untuk tujuh tahun dan lima tahun kontrak bernilai 20 juta NZD oleh Suruhanjaya Diraja Jubail dan Yanbu bagi kerajaan Arab Saudi,” katanya pada sidang media sempena majlis mesyuarat agung UEM Edgenta di sini, semalam.

Selain itu, kontrak terbabit turut membabitkan kerja naik taraf landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menaik taraf jalan raya di Kampung Sungai Serai (Exit Lebuh Raya Rawang ke Utara-Selatan) dan kerja infrastruktur bagi Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor.

Beliau berkata, penggabungan sebelum ini menjadikan UEM Edgenta semakin kukuh di mana ia memiliki enam unit perniagaan utama iaitu perkhidmatan perundingan aset, perkhidmatan infra, pengurusan kesihatan, industri dan perkhidmatan fasiliti dan perkhidmatan tenaga yang memiliki potensi pertumbuhan tinggi meliputi model kitaran hayat aset menyeluruh.

“Kami menyasarkan lebih banyak projek daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan mempertimbangkan peruntukan lebih tinggi dalam aspek infrastruktur sebagai satu daripada pemacu pertumbuhan utama negara,” katanya.

Sementara itu, UEM Edgenta mengumumkan hasil pendapatan tahun pertama penggabungan iaitu sebanyak RM3.1 bilion pada tahun kewangan lalu iaitu peningkatan sebanyak 14.4 peratus atau RM389.6 juta berbanding perolehan RM2.7 bilion pada 2013.

Selain itu, UEM Edgenta turut mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM324.5 juta bagi tahun lalu di mana jumlah itu adalah lebih tinggi daripada RM317.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 9:29 AM