PASUKAN forensik menggali satu daripada 37 kubur. FOTO AP
PASUKAN forensik menggali satu daripada 37 kubur. FOTO AP
Oleh Aizat Sharif


Wang Kelian: Satu mayat dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) dibawa keluar dari kawasan kubur PATI di Bukit Wang Burma, Wang Kelian selepas digali semula oleh pasukan forensik polis petang tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail berkata, mayat itu dikeluarkan sekitar 3 petang daripada satu kubur di bukit itu selepas operasi penggalian semula dilakukan oleh petugas forensik polis.

"Petugas forensik mengeluarkan mayat berbungkus kain putih dipercayai kain kafan dari satu daripada 37 struktur tanah dipercayai kubur berkeluasan 50 meter persegi," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal (MARTEK) Pasukan Gerakan Am, di sini, tadi.

Beliau menambah pendakian pasukan forensik polis ke lokasi kubur itu dipecahkan kepada dua kumpulan dimana kumpulan pertama memulakan pendakian sekitar 10.15 pagi dan pasukan kedua pula mula bergerak ke lokasi pada jam 11.45 pagi.

"Mayat itu kini dalam perjalanan untuk dibawa turun pada 4.10 petang tadi dan sehingga kini jantina dan sebab kematian masih tidak dipastikan," katanya.

Mayat akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star untuk dibedah siasat.

Lokasi kubur PATI yang berada di Bukit Wang Burma itu terletak di paras 400 meter dari aras laut dan berada 500 meter dari sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 7:16 PM