Trend selfie atau hobi menangkap gambar menjadi kegilaan remaja sekarang. SHUHADA MANSOR beri idea kepada mereka yang mencari gajet terbaik untuk aktiviti ini.

Tanpa kamera canggih sekalipun kita masih mampu merakam gambar setandingnya hanya menggunakan telefon pintar. Bagi anda peminat tegar alat telekomunikasi terkini atau lebih senang dipanggil 'gila gajet' pasti ternanti-nanti alat elektronik terbaru yang lebih canggih.

Meskipun tahun 2015 hampir menjengah pertengahan pengeluar alat telekomunikasi terus berlumba-lumba mencipta gajet terbaik di pasaran.

Mana satu yang terbaik?

Tidak dinafikan, pengguna telefon pintar jenis IOS contohnya pasti tidak mahu 'kalah' apabila berdebat dengan pengguna kategori Android. Masing-masing tahu kelebihan gajet mereka terutama sekali membabitkan kualiti kamera yang semakin 'tajam'.

Dari segi merakam gambar, terdapat beberapa telefon pintar daripada jenama berbeza disenaraikan sebagai antara yang terbaik sepanjang 2015. Di sini Gen Y senaraikan lima jenis telefon yang dikategorikan sebagai 'Kamera Telefon Pintar Terbaik 2015' seperti testimoni dijalankan sebuah portal IT terkenal Amerika Syarikat, Cnet.com.

Samsung Galaxy S6 & Galaxy Note 4 - Bagi S6, ia didatangkan dengan saiz skrin selebar 5.3 atau 5.5 inci dengan mengekalkan teknologi super AMOLED yang mampu menghasilkan pancaran warna gambar sangat menarik. Ia mempunyai kehebatan kamera yang luar biasa dengan fungsi 16 MP ISOCELL sensor sama hebat seperti Galaxy S5. Lebih menarik, ia membenarkan si pengguna merakam 4,000 gambar beserta dengan sentuhan HDR. Tidak jauh beza dengan S6, kamera Note 4 antara ditunggu-tunggu oleh peminat Samsung. Bagi yang selesa dengan peranti ini, ia adalah pilihan terbaik untuk anda.

Apple iPhone 6Plus & iPhone 6 - Tidak perlu diperkenalkan lagi, jenama ini sangat popular buat si pencinta gajet. Bukan saja kerana sistemnya yang bagus dan selamat malah hasil seperti gambarnya juga cukup memuaskan. Berbeza daripada model sebelum ini, kini iphone6 boleh di dapati dalam dua versi yang berbeza satu besar hampir besar seperti tab (iPhone6 plus) dan satu lagi bersaiz sederhana seperti saiz Note. Walaupun besar, lebar dan agak berat berbanding iPhone lain, ia tetap nipis dan elegen. Menariknya, ciptaan baru jenama Apple ini ia lebih mesra pengguna selain ia mencipta sejarah sebagai telefon terbesar yang pernah mereka cipta.

LG G4- Jenama ciptaan Korea ini sangat terkenal dengan kualiti dan kecanggihan teknologinya. Dengan memiliki fungsi kamera sebesar 13 MP dan sensor auto fokus, ia pastinya menjadi pilihan individu yang mahukan lain daripada yang lain, ataupun pengguna setianya.

Jadi jurugambar 'pro' dalam tiga minit

Tidak perlu bersusah ­payah menghadiri kelas fotografi atau bengkel semata-mata untuk belajar teknik menangkap gambar menggunakan telefon pintar. Malah anda juga tidak semestinya mempunyai latar belakang fotografi dalam pengajian untuk menjadi seorang jurugambar terbaik.

Kini, dengan hanya menonton video, kamu pasti dapat hasilkan sekeping gambar yang kreatif dan bernilai. Jadi, luangkan sedikit masa untuk belajar dan praktikkan ia! Puluhan ribu tip dapat dikongsi dan dipelajari di media sosial. Jangan hanya gunakan Internet dan gadjet untuk aktiviti sia-sia, jika pandai cari peluang, ia mampu buatkan kita peroleh pendapatan lumayan.

Paling penting, tip pembelajarannya adalah percuma!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:59 AM