NAFI bercita rasa tinggi terhadap lelaki.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kali terakhir pelantun lagu Bertakhta Di Hati ini bercinta ialah dua tahun lalu. Namun selepas itu hingga hari ini dia masih menyendiri.

Bukan tidak ada mana-mana lelaki yang cuba mendampinginya, tetapi Farahdhiya, 31, punya kriteria tertentu sebelum memutuskan untuk menjalinkan hubungan lebih serius.

Baginya, di usia kini apa yang difikirkan adalah perkahwinan. Justeru, dia mencari calon suami yang mampu hidup dengannya sampai bila-bila.

“Kalau bukan kerana anak, saya tak fikir pun mengenai lelaki. Jadi, memandangkan saya belum melalui fasa itu, saya mahu berkahwin dan memiliki zuriat sendiri.

“Saya memang sudah bersedia untuk berkahwin, tapi belum ada sesiapa yang bertakhta di hati. Kebanyakannya datang dan pergi saja,” kata wanita berdarah campuran Melayu dan Inggeris ini.

Mendengarkan jawapannya itu, tentu ramai yang beranggapan Farahdhiya wanita yang bercita rasa tinggi.

Disebabkan itu dia sukar untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki.

“Memang ramai yang datang, tapi semuanya tidak kena dengan cita rasa saya. Saya bukan pandang rupa semata-mata, tetapi secara keseluruhan saya perlukan lelaki yang boleh lindungi saya sebelum dan selepas berkahwin.

“Kalau nak tahu, sudah ada yang ajak berkahwin tapi saya menolak. Ini soal kehidupan yang panjang. Lagi pula, berkahwin bukan nak sekejap saja,” katanya yang lebih meminati lelaki Melayu berbanding lelaki Inggeris.

Dalam masa sama, Farahdhiya menepis cakap-cakap yang kononnya dia tawar hati dengan lelaki disebabkan sudah beberapa kali putus cinta.

“Walaupun saya tidak terdesak mencari teman hidup, tapi saya perlu berbuat sesuatu. Disebabkan saya jenis yang suka duduk di rumah, kawan-kawan selalu menasihatkan saya untuk keluar daripada zon selesa.

“Jadi, apa yang saya cuba buat selepas ini ialah banyakkan keluar rumah. Sebolehnya saya mengelak untuk bercinta dengan orang di dalam industri hiburan. Tapi, saya tidak boleh menolak jodoh kerana semuanya ditentukan oleh-Nya,” katanya.

Tak harap menang anugerah

Lebih sedekad bergelar anak seni, Farahdhiya bukan saja dikenali sebagai penyanyi tetapi dia juga berjaya menarik perhatian peminat dengan bakat lakonannya.

Berikan apa sahaja watak, dia tidak pernah gagal menyempurnakannya.

Cuma, belum ada rezeki namanya dinobatkan sebagai pemenang anugerah.

“Industri kita tak besar dan saya tidak mengharapkan apa-apa anugerah. Kalau dapat, saya bersyukur dan itu satu bonus. Tapi, sejak mula berlakon saya tidak pernah terfikir ke arah itu. Apa yang penting adalah tawaran berlakon sentiasa ada dan saya bersyukur kerana ia tak pernah putus,” katanya.

Menyedari hakikat dunia lakonan juga ada mainan politiknya, Farahdhiya mengakui dia juga menerima tempias terutama dalam soal bayaran.

“Ramai yang tak tahu, harga saya sangat berpatutan. Walaupun sudah lama berlakon, tapi saya masih waras untuk meletakkan harga. Tipu kalau saya tidak pernah ditawarkan harga rendah.

“Saya macam pelakon lain juga yang ada beberapa komitmen perlu dijelaskan. Berlakon dan menyanyi adalah periuk nasi saya,” katanya.

Selain sibuk di lokasi penggambaran telefilem raya berjudul Ketupat Lemang lakonan bersama Johan As’ari, Farahdhiya juga masih dalam rangka mempromosikan single Ku Tak Rela.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:59 AM