Beberapa inisiatif berkaitan teknologi digariskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Antara rancangan berkaitan teknologi yang diberi tumpuan termasuk isi rumah di ibu negeri dan kawasan pertumbuhan berimpak tinggi yang akan mendapat akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 100 megabit sesaat (100Mbps).

Manakala di kawasan pinggir bandar dan luar bandar pula akan dapat akses perkhidmatan jalur lebar 20Mbps.

Selain itu, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dipercepatkan bagi meningkatkan capaian maklumat berkaitan pertanian, perniagaan, pendidikan dan kesihatan.

Ia juga dapat memperluas peluang perniagaan dan penjanaan pendapatan yang akan meningkatkan kesejahteraan.

Sehubungan itu, program eRezeki dalam kalangan isi rumah B40 akan diperluas melalui penggunaan ICT bagi membolehkan penjanaan pendapatan tambahan.

Latihan asas ICT akan diberikan sebelum peserta program eRezeki dipadankan dengan tugasan bersesuaian seperti kemasukan data, pemantauan harga dan penterjemahan dokumen.

Manakala sokongan perniagaan melalui platform digital bagi perusahaan mikro diperluas bagi meningkatkan jangkauan dan akses kepada pasaran.

Bagi sektor pendidikan pula, kerajaan meng­gunakan pembelajaran ‘online’ bagi memperluas akses dan menambah baik pengajaran dan pembelajaran KPM akan mengukuhkan penggunaan 1BestariNet Virtual Learning Environment di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 1:50 PM