PEREYRA Diaz diasak dua pemain Ayeyawady United, Moe Win dan Sim Woon Sub. FOTO Bernama
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke suku akhir selepas menewaskan Ayeyawady United FC dengan 5-0 dalam saingan pusingan kedua Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini.

Pasukan tuan rumah beraksi cemerlang apabila berjaya melakukan jaringan awal menerusi kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-2.

Hantaran Jorge Rolando Pereyra Diaz dapat disempurnakan dengan baik oleh Safiq sebelum jaringan berkenaan kekal hingga separuh masa pertama.

Anak didik Mario Gomez itu menunjukkan ketangkasan apabila sekali lagi menjaringkan gol kedua pada minit ke-46 yang dijaringkan Luciano Gabriel Figueroa.

Tindakan pihak lawan menukar Pyae Phyo Oo dengan pemilik jersi nombor 10, Thiha Zaw nyata gagal menambah jaringan gol.

Aksi cemerlang JDT diteruskan dengan jaringan ketiga oleh pemain yang berasal dari Argentina, Jorge Rolando Pereyra Diaz pada minit ke-61.

Bagaikan berpesta gol, apabila Jorge Rolando Pireyra Diaz sekali lagi menjaringkan gol keempat untuk JDT pada minit ke -74.

JDT membuat penukaran pemain menggantikan Mohd Nazrin Mohd Nawi dengan Mohd Shakir Shaari bagi menajamkan pasukan itu.

JDT menambah gol kelima menerusi Luciano Gabriel Figueroa minit ke-90.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:54 PM