Iameenta yang dilahirkan menerusi YouTube dua tahun lalu mula mendapat tempat di hati peminat muzik terutama golongan sebaya mereka yang dianggap pencetus revolusi muzik alternatif pop rock baru.

Kehebatan mereka dalam kalangan peminat muda memberi kekuatan untuk terus berjuang melalui album sulung yang memuatkan lima lagu.

Band yang dianggotai Neeta Manisha, 20 (penyanyi), Anas Zakwan, 21 (bass) dan Patrick Anohada, 27 (gitar utama) kini sibuk menyiapkan album kedua mereka.

"Judul album sulung ini akan diketahui pada hari pelancaran nanti. Beza album pertama dan kedua adalah dari segi muzik apabila album pertama lebih kepada pengenalan dan berkonsepkan mini album.

"Album kedua lebih rock. Kami cuba hasilkan karya yang seakan sama, tetapi masih ada rasa Iamneeta walaupun genre berbeza dan sebab itu kami tidak mahu terikat pada satu genre muzik saja," kata Neeta.

Mendapat sokongan daripada kelab peminat, #iamneetaunited, tiga anak muda ini yang akan muncul membuat persembahan pada Karnival dan Kejohanan Sampai Dengan Selamat di Akademi Memandu Metro, Puchong, Ahad ini, tidak me-nyangka jenama yang dibawa mereka diterima ramai dengan begitu cepat.

Muncul dengan single pertama berjudul Tuhan Tolong Aku sekitar 2012, Iamneeta tampil dengan single seterusnya berjudul Terima Kasih, Jatuh Cinta dan satu single Inggeris, Marry Me.

Sementara itu kata Neeta, dia memang minat muzik sejak kecil lagi.

"Ibu dan ayah memberi sokongan kepada saya untuk belajar muzik dan minat saya pada muzik bermula daripada ayah. Band seperti Paramore, Kodaline dan Coldplay antara band yang menyuntik semangat Neeta untuk terjun dalam bidang ini," kata pelajar jurusan Seni Persembahan di Kolej Damansara Utama (KDU) ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:00 AM