NOEL OTT.
NOEL OTT.
OTT tidak menyesal memilih bola  sepak pantai sebagai kerjaya.
OTT tidak menyesal memilih bola sepak pantai sebagai kerjaya.

Pemain berusia 21 tahun itu bakal mencetuskan fenomena pada edisi sulung Sukan Eropah yang akan diadakan di Baku, Azerbaijan.

Setiap kali memikirkan mengenai bola sepak pantai, fikiran akan terarah ke pesisir pantai Brazil atau pantai Mediterranean daripada sebuah negara yang terletak berhampiran Banjaran Alps.

Begitupun Switzerland mempunyai sejarah tersendiri dalam bola sepak moden, daripada akademi remaja hingga ke peringkat elit antarabangsa.

Malah mereka boleh berbangga dengan Noel Ott (gambar) yang dianggap pemain bola sepak pantai terbaik dunia.

“Tahun lalu saya menerima anugerah sebagai pemain remaja terbaik dunia dan saya terpilih memenangi gelaran pemain bola sepak pantai terbaik dunia,” katanya.

Apabila anda melihat bintang bola sepak dunia yang dibandingkan dengannya, ia satu kenyataan yang tidak boleh disangkal.

“Ramai membandingkan saya dengan Lionel Messi,” katanya.

“Ramai yang berkata, saya bergerak sepantas ribut dan meluncur melepasi lawan dan pada akhirnya, saya berada di depan gol dan menjaringkannya, hampir setiap kali.”

Tidak ramai pemain bola sepak yang cukup berani membandingkan diri mereka lebih baik berbanding Messi dan Cristiano Ronaldo, penjaring gol terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara dan pemenang tujuh gelaran Ballon d’Or terakhir.

Ott bagaimanapun mendakwa pemain sensasi Barcelona dan Real Madrid pasti kurang selesa bila berada di arenanya.

“Saya tidak fikir Messi dan Ronaldo, pemain bola sepak terbaik ketika ini mampu beraksi dengan baik di pasir,” katanya.

Sewaktu kecil, Ott pernah memilih untuk menjadi pemain bola sepak profesional tetapi akhirnya memilih untuk bermain bola sepak pantai dan ia keputusan yang tidak dikesalinya.

“Saya memilih bola sepak pantai kerana ia lebih seronok dan menakjubkan. Anda berpeluang menjaringkan gol setiap minit, bahkan setiap saat.

“Anda sentiasa berada di tempat yang disinari matahari dan cuacanya lebih panas. Anda bermain di tepi laut, bermain di depan 5,000 atau 10,000 penonton apabila tiket habis dijual.

“Malah ada pasukan sorak dan wanita cantik berbikini. Ia sebahagian daripada sukan juga, ia memang menyeronokkan.

“Bola sepak pantai rasanya seperti ‘pantai, keseronokan dan matahari’. Itulah sebabnya ia begitu istimewa, itulah sebabnya saya sukakannya.”

Pertandingan di Baku musim panas ini bakal menjadi acara tumpuan edisi sulung Sukan Eropah di mana empat daripada lima pasukan utama dunia bertanding.

Ott membawa harapan Switzerland tetapi dia sudah bersedia mengharungi cabaran itu.

“Lapan pasukan bertanding di Baku, lapan pasukan terbaik dari Eropah,” katanya.

“Kami pasukan nombor tiga dunia. Sudah pastilah ada Russia, Sepanyol dan Portugal. Mereka negara yang kuat tetapi masih boleh dikalahkan. Mereka juga manusia.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 9:39 AM