Oleh Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Syarikat Cosmo Restoran Sdn Bhd, francaisor Burger King Desa Sri Hartamas, didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan gagal mematuhi arahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Hakim Zulqarnain Hassan, menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Cosmo, selepas wakilnya membuat pengakuan berkenaan apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi arahan penolong pengawal untuk mengemukakan maklumat yang dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 21(2) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dalam tempoh tiga hari dari notis diserahkan pada 6 April lalu.

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di premis Burger King, Desa Sri Hartamas, Nombor 22 Tingkat Bawah, Jalan 24/70A, Desa Sri Hastamas, pada 10 April 2015.

Pendakwaan terhadap Syarikat Cosmo dibuat mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, yang boleh dikenakan denda maksimum RM250,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 11:50 AM
Digital NSTP Subscribe