Oleh Aizat Sharif

Padang Besar: Hanya empat anggota polis yang ditahan daripada jumlah keseluruhan 14 orang bagi membantu siasatan aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia di negara ini setakat ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa kenyataannya berkenaan jumlah tangkapan suspek kegiatan penyeludupan termasuk pemerdagangan manusia di lobi Parlimen semalam adalah tangkapan pada tahun lalu.

"Sebanyak 12 tangkapan dilakukan pada tahun lalu manakala tambahan dua lagi tangkapan pada tahun ini dan daripada jumlah itu juga hanya empat membabitkan anggota polis," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan 'Op Wawasan Khas' di Markas Taktikal (MARTEK) Pasukan Gerakan Am ( PGA ) di Wang Kelian, disini, pagi tadi.

Menurutnya, tangkapan terbaru membabitkan dua anggota polis sebulan lalu adalah untuk membantu siasatan berkaitan penemuan kubur dan kem kurungan pendatang asing tanpa izin (PATI ) di Wang Kelian minggu lalu.

"Dua lagi anggota polis yang ditahan pada tahun lalu pula bagi membantu siasatan berkaitan kes penyeludupan barangan di sempadan," katanya yang enggan mendedahkan pangkat atau cawangan mana anggota polis itu bertugas.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, berdasarkan penggalian yang dilakukan oleh petugas forensik di kawasan kubur PATI di Bukit Wang Burma tidak menunjukkan sebarang indikasi terhadap kewujudan kubur besar di kawasan itu

Katanya, setiap kubur yang digali itu hanya mempunyai satu mayat seperti perkuburan biasa.

"Bagaimanapun forensik PDRM masih meneruskan kerja penggalian di kawasan itu bagi membawa keluar semua mayat," katanya.

Sehingga semalam, sebanyak empat mayat sudah dibawa keluar dari kawasan perkuburan PATI di Gua Wang Burma, Wang Kelian.

Tiga daripadanya menerusi kerja penggalian semula yang dilakukan oleh petugas forensik polis serta dibantu oleh Jabatan Kesihatan Perlis dan anggota PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 3:12 PM