Helikopter Fennex memantau sekitar perairan Langkawi ketika OP Sekat. FOTO Abdullah Yusof
Helikopter Fennex memantau sekitar perairan Langkawi ketika OP Sekat. FOTO Abdullah Yusof
Oleh Amir Abd Hamid

Langkawi: Ada bot sudah mendarat di Thailand. Itu antara kemungkinan membabitkan beberapa bot membawa ribuan pelarian etnik Rohingya dari Myanmar untuk ke destinasi akhir di Malaysia.

Pegawai Memerintah KD Kasturi Kepten Sharum Shaim berkata, etnik yang tertindas di negara mereka itu mungkin mendarat di pantai Thailand untuk masuk ke negara ini menerusi sempadan darat.

"Perairan negara kini dikawal ketat bukan saja oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) malah Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Justeru, mungkin bot membawa pelarian itu tidak berani masuk perairan negara ini," katanya.

Selain itu, katanya, bot membawa pelarian itu mungkin menukar strategi masuk perairan negara ini dalam keadaan cuaca buruk.

Beliau berkata, bot yang dipercayai mempunyai peralatan komunikasi canggih itu berupaya belayar dalam cuaca buruk.

"Bot pelarian itu mungkin menukar taktik sedemikian sebab menyangka boleh mengelak daripada dikesan pihak keselamatan Malaysia.

"Selain itu, mereka mungkin akan menyerah diri disebabkan tekanan operasi dan kawalan pihak berkuasa semakin ketat," katanya.

Apapun, beliau berkata, pihak keselamatan termasuk warga KD Kasturi dianggotai 124 anggota beserta pegawai sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 6:06 PM