ASMIDAR sedar cabaran dalam industri muzik.
ASMIDAR sedar cabaran dalam industri muzik.
Oleh Nor Akmar Samudin


Tidak ramai tahu lagu Sembunyi Rahsia yang menjadi lagu tema drama Rindu Awak 200% yang baru saja bersiaran di slot Akasia TV3 lakonan Zul Ariffin dan Ayda Jebat adalah lagu nyanyian juara Vokal-Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Asmidar.

Entah di mana silapnya sehinggalah drama itu selesai bersiaran, penonton drama itu masih belum tahu siapa penyanyinya.

Asmidar yang kini ber­naung di bawah label Warner Music tidak menyalahkan mana-mana pihak.

Apa pun jua, lagu itu seolah-olah kekurangan promosi dan Asmidar lebih dikenali menerusi single pertamanya, Biar Sampai Ke Bintang.

Single keduanya, Kali Pertama juga kurang memberi kesan kepada peminat muzik.

Bahkan penyanyi yang berusia 28 tahun itu juga memiliki album penuh yang memuatkan tujuh lagu termasuk lagu Biar Sampai Ke Bintang, Kali Pertama dan Sembunyi Rahsia.

"Album penuh itu diberi judul Kali Pertama dan saya sendiri menyedari ramai yang tidak tahu mengenai­nya. Mungkin mereka ingat Biar Sampai Ke Bintang satu-satunya lagu yang saya ada selepas tamat pertandingan Vokal-Bukan Sekadar Rupa.

"Lagu Sembunyi Rahsia juga lagu tema untuk filem Laga. Saya akui meskipun lagu saya kerap dimainkan di radio, namun ia tidak selari dengan populariti saya yang agak suam.

"Sebelum berada dalam industri hiburan tanah air, saya nampak seperti segala-galanya mudah, tetapi selepas berada di dalam lingkungan dunia seni yang sebenarnya, barulah saya tahu keperitannya termasuk saingan yang hebat. Ramai bakat baru yang bagus-bagus, pun begitu terlalu awal untuk saya berasa kecewa kerana baru tiga tahun dalam industri," katanya.

Malahan, kata Asmidar atau nama penuhnya Norhasmidar Ahmad, ada yang berbelas tahun menyanyi baru merasai kenikmatan dan kejayaannya.

"Ini jalan yang saya pilih, kenalah bersabar dan tidak jemu terus mencipta nama. Jauh lagi perjalanan kerjaya saya," katanya.

Asmidar kini dalam proses menghasilkan album kedua yang belum diketahui siapa penerbitnya.

"Kali ini saya mahu menyanyikan lagu ciptaan sendiri. Sebelum menyertai Vokal-Bukan Sekadar Rupa saya bergiat aktif bersama band indie, saya buat lagu dan lirik juga ilham saya sendiri.

"Daripada pengalaman itulah saya yakin untuk menyanyikan lagu sendiri dalam album kedua nanti. Lagu asal ciptaan saya boleh ditambah baik dengan sentuhan produser yang menerbitkan album itu nanti," katanya.

Asmidar yang juga juara Pertandingan Lagu Asli anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara berkata, dia teringin sekali untuk menghasilkan album lagu genre itu.

"Meskipun lagu asli mungkin tidak akan berada dalam arus perdana industri hiburan tanah air, tetapi saya mahu mewariskan album itu kepada generasi muda agar mereka tahu asal usul bangsa sendiri," katanya.

Dia kini mendapat banyak tawaran membuat persembanan di luar negara seperti Bangkok, London dan Korea Selatan mewakili negara menyanyikan lagu zapin dan asli.

Sebelum menamatkan perbualan, Asmidar turut menyuarakan rasa hati untuk cuba berlakon dan mengacara.

"Saya sedia pergi ke uji bakat dan sebagai permulaan dapat watak pelakon pembantu pun tidak mengapa," katanya yang akan membuat persembahan pada Karnival dan Kejohanan Sampai Dengan Selamat di Akademi Memandu Metro, Puchong, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:01 AM