BOON Heong (kanan) dan Kien Keat berjaya ke suku akhir.

Kuala Lumpur: Tiada tekanan menjadi punca utama bekas beregu lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terus cemerlang di Siri Super Terbuka Australia 2015 apabila berjaya melangkah ke suku akhir, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 Doha itu berjaya menyingkirkan pilihan ketiga dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 21-16, 21-18 dalam perlawanan berlangsung selama 32 minit di Sydney, semalam.

Menurut Kien Keat, dalam aksi semalam mereka tidak ada sebarang rahsia atau kunci utama untuk mencatatkan kemenangan, namun besar kemungkinan ia disebabkan mereka beraksi secara bersahaja tanpa sebarang tekanan.

“Kami cuma bermain seperti biasa saja dan menikmati perlawanan sebaik mungkin,” katanya yang mengambil keputusan meninggalkan BAM pada Februari 2014 sebelum berhijrah ke Thailand.

Jelasnya, tidak ada sesiapa menaruh harapan kepada mereka sekarang, cuma keinginan itu lahir daripada diri sendiri.

“Walaupun kami sudah berjaya melayakkan diri ke suku akhir, kami akan bermain seperti biasa kerana sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran,” kata pemain berusia 29 tahun itu.

Ini kejohanan pertama buat bekas pasangan nombor satu dunia itu, selepas Boon Heong juga mengambil keputusan meninggalkan badan induk berkenaan Mac lalu.

Menanti mereka di suku akhir ialah beregu China yang juga pilihan keenam, Liu Xiaolong-Qiu Zihan selepas pasangan itu mengalahkan gandingan Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin 21-16, 21-17.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kecundang di pusingan kedua semalam apabila tumpas kepada gandingan Jepun Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 21-91, 16-21, 16-21 dalam perlawanan yang memakan masa 57 minit.

Sebelum ini, V Shem-Wee Kiong pernah mengalahkan pasangan berkenaan di suku akhir Sukan Asia 2014 dan berjaya meraih pingat gangsa selepas tumpas di separuh akhir kepada Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Kekalahan beregu utama negara ini, bermakna cabaran pemain di bawah naungan BAM berakhir semalam dan hanya pasangan bebas, Kien Keat-Boon Heong membawa cabaran tunggal Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 11:57 AM