PENG Soon (kiri) dan Liu Ying kini berada di ranking ke-65 dunia.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kecemerlangan dipamerkan pada Piala Sudirman 2015 Dongguan baru-baru ini, menjadikan gandingan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebagai prospek utama menyumbangkan pingat emas di Sukan SEA Singapura bulan depan.

Ia diakui jurulatih beregu campuran negara, Tan Kim Her apabila tidak gusar meletakkan harapan ke atas anak buahnya itu selepas ketiadaan pilihan utama yang juga pasangan nombor tiga dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

“Bagi saingan Sukan SEA kali ini pencabar utama kita ialah Indonesia dan Thailand. Bagaimanapun, berdasarkan senarai nama didaftarkan, Indonesia tidak menghantar beregu campuran utama dan ia memberi peluang terbaik buat Peng Soon-Liu Ying tetapi mereka tidak boleh memandang rendah pemain lain,” katanya .

Jelasnya, Peng Soon-Liu Ying menunjukkan peningkatan dalam setiap kejohanan disertai selepas digandingkan semula.

“Mereka sudah hampir untuk kembali pada tahap prestasi sebenar dan saya harap mereka boleh raih pingat emas kali ini,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Sebelum ini, mereka terpaksa dipisahkan hampir setahun apabila Liu Ying menjalani pembedahan lutut dan kembali bergandingan sejak Februari lalu sekali gus berjaya menjuarai Grand Prix (GP) Emas Terbuka Poland, Mac lalu.

Pada saingan Piala Sudirman dua minggu lalu, Peng Soon-Liu Ying cemerlang apabila menyumbangkan mata kemenangan skuad negara ketika aksi peringkat kumpulan dan berjaya membawa pasukan mara ke suku akhir.

Sementara itu, Kim Her menyuarakan keyakinan Peng Soon-Liu Ying yang kini menghuni tangga ke-65 dunia mampu berada dalam kelompok 20 terbaik hujung tahun ini sekali gus mencerahkan laluan memburu tiket ke Sukan Olimpik Rio.

“Mereka ada sekurang-kurangnya lapan lagi kejohanan sehingga hujung tahun dan jika berjaya berada dalam kelompok 20 terbaik, peluang ke Olimpik sangat cerah.

“Ada lima bulan lagi sebelum tarikh tutup kelayakan Sukan Olimpik pada Mei dan sudah pasti mereka akan terus memperbaiki kedudukan ranking dunia. Untuk selamat, mereka perlu berada di kedudukan ke-13 dunia bagi layak ke Rio,” kata Kim Her.

Sebelum ini, Peng Soon-Liu Ying pernah menghuni ranking ketiga terbaik dunia pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 11:57 AM