DR Norman mengkhatankan seorang kanak-kanak Islam Kemboja.
Oleh Nor Shafinaz Sari

Pengalaman pertama menganjurkan program khatan wakaf kepada anak-anak miskin di Wilayah Cham, Kemboja tahun lalu membawa semula Pertubuhan Kebajikan Ibnu Sina (PERKIS) Melaka ke negara berkenaan, baru-baru ini.

Kedaifan masyarakat Islam di negara itu menarik simpati persatuan berkenaan terus menabur bakti dan memberi perkhidmatan berkhatan dan perubatan secara percuma kepada anak-anak Islam yang miskin.

Walaupun penduduk Islam di sana adalah golongan minoriti dan hanya terdapat 6,000 penduduk Islam di daerah Cham, mereka tekun dan patuh melakukan amalan agama.

Pengerusi PERKIS Melaka Dr Norman Mohd Norawi berkata, masyarakat Islam di Kemboja sangat menghargai program kebajikan yang dijalankan PERKIS.

“Sebelum ini, mereka menggunakan cara khatan tradisional yang menyakit­kan dan mengambil masa agak lama untuk sembuh tetapi mereka tiada pilihan memandangkan kemudahan perubatan di negara itu sa­ngat daif.

“Kami menggunakan kaedah perubatan moden untuk berkhatan iaitu teknik clamp yang mengambil masa tiga hari untuk luka kering dan proses penyembuhan sepenuhnya mengambil masa seminggu.

“Ini menarik perhatian masyarakat Islam di negara itu,”katanya.

Program kerjasama PERKIS dan Kolej Mara Seremban itu membabitkan 30 sukarelawan.

Selain itu, peluang bertemu dan beramah mesra dengan penduduk Islam itu memberi pengalaman kepada sukarelawan PERKIS untuk melakukan aktiviti sama pada masa depan .

Katanya, banyak perbezaan antara teknik sunat di Kemboja dan Malaysia, begitu juga dengan semangat kerana kanak-kanak di negara itu lebih kental dan tidak takut.

“Luka berkhatan juga lebih cepat kering, mungkin faktor pemakanan kerana kanak-kanak Kemboja lebih banyak memakan sayur-sayuran segar,” katanya.

Norman berkata, mereka mempelajari banyak perkara mengenai cara kehidupan serta budaya masyarakat setempat.

“Kemudahan asas di sini amat menyedihkan dan di wilayah ini, hanya ada sebuah klinik.

“Kebetulan saya menyaksikan kemalangan dan bagi mengelak menunggu terlalu lama bantuan ambulans, penduduk memberikan bantuan kecemasan sendiri kepada mangsa sebelum menghantar ke hospital,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang program amal itu, sukarelawan PERKIS turut mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada masyarakat miskin.

“Kami memberi ubat-ubatan secara percuma bagi mebantu mereka mendapat kesihatan yang baik.

“Dalam lawatan ini juga, kami mengenal pasti rumah yang mahu kami bantu dan bina semula.

“Ada rumah yang layak dipanggil reban ayam tetapi ada tiga penghuni tinggal di dalamnya, jadi kami cari dana untuk membantu mereka membina semula rumah,”katanya.

Katanya, PERKIS membelanjakan RM100,000 termasuk ubat-ubatan yang disumbang klinik, individu serta persatuan perubatan lain sepanjang program amal itu.

“Kami masih mencari dana untuk terus mengadakan program sebegini tahun depan dan bercadang meluaskan kawasan bantuan ke negara lain yang mempunyai penduduk Islam termasuk Indonesia.

“Justeru, kami memerlukan dana, jadi sesiapa yang berminat menderma boleh menghubungi PERKIS,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 1:51 PM