AFP

Paris: Pemain nombor satu dunia Novak Djokovic meluahkan pujian melangit buat pemain muda Borna Coric di Terbuka Perancis, dengan mengatakan: “Dia mengingatkan saya kepada diri sendiri.”

Coric, 18, muncul pemain termuda layak ke pusingan ketiga di Paris sejak Marat Safin melakukannya pada 1998 apabila menewaskan pemain veteran Sepanyol Tommy Robredo 7-5, 3-6, 6-2, 4-6, 6-4.

“Saya sukakan Coric terutama cara dia menghadapi perlawanan. Dia berfikiran matang walaupun baru berusia 18 tahun,” kata Djokovic yang 10 tahun lebih tua daripada Coric.

“Saya banyak kali berlatih dengannya sejak beberapa bulan lalu dan permainannya mengingatkan saya kepada diri sendiri. Begitulah saya ketika seusia dengannya.”

Coric yang menduduki tangga ke-46 dunia, menyelitkan diri dalam kalangan 50 terbaik dunia sebelum aksi di Roland Garros bermula dan layak ke pusingan ketiga kejohanan utama buat kali pertama.

Bakatnya mula diperhatikan sejak beberapa bulan lalu dan ketika di Basel tahun lalu, dia menewaskan idolanya, Rafael Nadal sebelum mengatasi Andy Murray di Dubai awal tahun ini.

Dia pemain paling muda menduduki kelompok 100 pemain terbaik dunia pada hujung 2014 selepas memperbaiki kedudukan dari tangga ke 276 dalam hanya 12 bulan.

“Dia melawan dengan baik. Mempunyai kawalan gelanggang sempurna dan servis hebat,” kata Djokovic.

“Dia profesional dan matang. Bukan hanya di gelanggang tetapi kehidupannya juga terjaga dengan baik. Hebat menyaksikan peribadi sedemikian daripada seseorang yang muda sepertinya.

“Saya yakin dia akan menjadi pemain tenis yang hebat.”

Bekas pemain, Mario Ancic jga turut memuji Coric dengan berkata: “Dia pemain berbakat, bijak dan memiliki hati seorang juara.

“Saya yakin dia akan menjadi salah seorang pemain terhebat di masa depan. Dia bakal menjadi bintang.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:10 AM