PIQUE berkata sesuatu kepada Neymar.
4AFP

Madrid: Barcelona semakin hampir melakar kejayaan trebel kedua dalam sejarah 115 tahun kelab apabila mereka melayan kunjungan Athletic Bilbao untuk aksi final Copa del Rey di Camp Nou, esok.

Ia pertemuan ketiga buat kedua-dua pasukan dalam aksi final sejak tujuh tahun lalu dengan Barca tidak pernah tewas ketika kelab gergasi Sepanyol itu melakar trebel pertama pada 2009 selain kepimpinan terakhir Pep Guardiola selaku jurulatih pada 2012.

Perlawanan esok turut menyaksikan persembahan terakhir Xavi Hernandez di tempat sendiri sebelum menutup persembahan dengan final Liga Juara-Juara menentang Juventus pada 6 Jun.

“Kami bangga kerana sudah memenangi La Liga dan kini beraksi di final Copa del Rey. Walaupun ada pihak menganggapnya sebagai kejuaraan kecil, bagi kami ia penting, sama pentingnya dengan Liga Juara-Juara,” kata pertahanan Barca Gerard Pique.

“Ia akan menambah satu lagi gelaran buat muzium kelab dan di Barca, kami hanya tahu bagaimana cara untuk menang.”

Pique kembali ke persembahan terbaiknya dan ia menjadi kunci kejayaan kelab mencatat 29 kemenangan sepanjang 33 aksi sekali gus mencerahkan peluang untuk melakar trebel musim ini.

Barca hanya melepaskan 21 gol sepanjang 38 aksi La Liga dan semakin garang menerusi gerakan set-piece sejak dikendalikan Luis Enrique musim ini.

Begitupun, Pique sedar mengapa persembahannya tidak begitu diperkatakan kerana trio penyerang Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez membuka mata semua orang dengan 117 gol setakat ini.

“Apabila menang, peminat sering memerhatikan penyerang dan apabila tewas, pertahanan akan dipersalahkan. Begitu juga dengan penjaga gol serta jurulatih,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

“Perkara ini berlaku kepada semua kelab besar dan ia normal. Kami mempunyai tiga penyerang terhebat dunia, mereka faham dengan pergerakan masing-masing dan persembahan mereka juga sukar ditandingi.”

Sementara itu, Athletic sedang memburu kejuaraan utama buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun sejak memenangi liga dan Copa del Rey pada musim 1983/84.

Kelab Basques itu sudah beberapa kali merana akibat kelicikan Messi musim ini dan dia memainkan peranan besar ketika membantu Barca menang 5-2 ke atas Athletic di San Memes, Februari lalu.

Begitupun, anak buah Ernesto Valverde itu sudah meningkatkan persembahan dan layak ke saingan Liga Europa musim depan selain melangkah ke final Copa del Rey menerusi catatan tujuh kemenangan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:11 AM