Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Diperbuat daripada kain kapas berkualiti yang ringan dan mudah dibawa ke mana saja terutama ketika mengembara, rekaan telekung Sofia daripada butik Zaahara.com, pilihan tepat wanita terutama mereka yang sering berurusan ke luar negara.

Telekung ini dihiasi dengan sulaman berasaskan konsep ringkas dan minimalis bagi mengelak budaya menunjuk ketika beribadat. Ia juga datang dalam enam pilihan warna pastel supaya tidak mengganggu kekusyukan orang lain ketika solat berjemaah.

Pengarah Urusan Zaahara.com Erina Zahara Ellias berkata, telekung berkenaan dijahit labuh supaya dapat menutup aurat dengan sempurna, sesuai untuk semua wanita termasuk mereka yang memiliki ketinggian 170 sentimeter.

Telekung itu juga datang dengan bag bergetah supaya ia boleh dilipat kecil dan disimpan dalam beg tangan tanpa perlu dizip atau dibutangkan bagi memudahkan urusan solat.

“Kain yang labuh dapat menyembunyikan bentuk badan. Telekung keluaran kali ini rekaan terbaru selepas rekaan pertama habis dijual dalam tempoh dua hari saja.

“Dijual pada harga RM55, telekung ini memang selesa dan sesuai dengan cuaca di negara ini. Selain telekung Sofia, kami juga ada menghasilkan pelbagai telekung koleksi lain diperbuat daripada kain kapas linen yang sangat selesa untuk disarung,” katanya yang turut memaparkan koleksi telekung terbaru di Instagram: @zaaharadotcom @thezaaharatelekung dan Facebook: zaaharadotcom, selain turut beroperasi di butik di Subang Parade, Subang Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:13 AM