PELE (kanan) bersama Oscar pada perasmian Kempen 100 Plus ‘Yang Hebat Dahagakan Cabaran’ di KLCC, semalam.
PELE (kanan) bersama Oscar pada perasmian Kempen 100 Plus ‘Yang Hebat Dahagakan Cabaran’ di KLCC, semalam.
Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Jangan fikir anda pemain terbaik, sebaliknya sentiasa belajar untuk memperbaiki prestasi diri.” Begitulah peringatan legenda bola sepak Brazil, Pele sekiranya sesebuah negara atau pasukan mahu membentuk pemain serta skuad bola sepak yang benar-benar mantap.

Pemain hebat yang memenangi tiga Piala Dunia dan meledak lebih 1,000 gol sepanjang karier dari era 50-an hingga 70-an menyifatkan bola sepak permainan berpasukan yang perlu dibangunkan secara bersama untuk mendapatkan sebuah pasukan mantap.

“Bola sepak bukan bergantung kepada seseorang pemain saja. Setiap pemain mesti mempunyai disiplin tidak kira apa bidang mereka ceburi.

“Mereka perlu sentiasa bekerja keras dan menerapkan disiplin tinggi kerana bakat manusia berbeza. Ada yang dilahirkan untuk menjadi pemain bola sepak, ada menjadi doktor dan ada artis. Saya dilahirkan untuk menjadi pemain bola sepak,” katanya pada majlis pelancaran kempen Yang Hebat Dahagakan Cabaran 100 Plus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Majlis dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pele, 74, yang dianggap pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman berada di negara ini bersama rakan senegaranya yang juga bintang Chelsea Oscar selaku duta pertama antarabangsa minuman isotonik itu bagi mengendalikan klinik bola sepak bersama empat pasukan terbaik Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Sukan Malaysia Tunku Ismail (Johor), SSM Pahang, SMK Za’ba (Negeri Sembilan) dan SMK Putera (Kelantan).

Pele turut berkongsi pandangannya terhadap beberapa pemain handalan dunia bola sepak zaman beliau dan beberapa pemain diminatinya sekarang.

“Dalam permainan bola sepak anda memerlukan rakan sepasukan yang mampu membantu. Sewaktu saya bermain, pasukan saya dianggotai ramai pemain hebat seperti Garrincha, Vava dan Tostao. Biarpun saya bukan penyerang kerana lebih banyak sebagai pemain yang jenis datang dari belakang tapi masih mampu menjaringkan banyak gol disebabkan rakan sepasukan banyak memberi sokongan,” katanya.

“Dari segi pemain pertahanan paling sukar ditembusi sewaktu bermain pada Piala Dunia adalah bek kental England, Bobby Moore dan Franz Beckenbauer dari Jerman. Dua pemain ini akan sentiasa berada dalam fikiran saya manakala penyerang saya minati George Best manakala pemain tengah Xavi dari Sepanyol adalah antara pemain tengah terbaik sekarang.

“Secara keseluruhan, saya mengatakan Lionel Messi adalah pemain terbaik. Dia juga seorang pemain pintar. Dari segi persamaan, pemain memiliki gaya permainan saya adalah Neymar.”

Ditanya mengenai Oscar, beliau berkata: “Pemain ini (Oscar) antara terbaik Brazil sekarang. Dia bekerja keras dan tidak mudah putus asa. Kami berbeza empat atau lima generasi, tetapi Oscar pilihan saya dalam skuad Brazil. Gayanya bermain menggembirakan setiap orang di Brazil.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:14 AM