STEVEN Spielberg
INDIANA Jones: Raiders of the Lost Ark
JAWS
JURASSIC Park
CLOSE Encounters of the Third Kind
E.T. the Extra-Terrestrial
Susunan Oleh Michelle Gun


Siapa tidak mengenali tokoh filem Hollywood, Steven Spielberg, 68, yang terkenal menerusi karya berkonsepkan sains fiksyen dan thriller yang diadaptasi dari novel.

Satu daripada karya beliau yang berjaya mencipta fenomena tersendiri dalam industri perfileman antarabangsa sehingga hari ini adalah trilogi Jurassic Park yang pertama kali ditayangkan pada 1993.

Berikutan kejayaan filem itu meraih kutipan jualan mencecah RM3.67 bilion, tiga lagi sekuel menyusuli iaitu The Lost World: Jurassic Park (1997), Jurassic Park III (2001) dan terbaru selepas 14 tahun, Jurassic World yang bakal memeriahkan pawagam pada 11 Jun ini.

Spielberg hanya mengarah Jurassic Park dan The Lost World selain bertindak sebagai penerbit bagi dua lagi sekuel Jurassic Park.

Mengarahkan karya bebas pertama pada usia 16 tahun, kehebatan Spielberg mengarahkan filem melayakkan beliau memenangi beberapa anugerah berprestij.

Antaranya filem hebat Spielberg yang berjaya menaikkan nama beliau adalah Jaws, Close Encounters of the Third Kind, E.T. the Extra-Terrestrial, Lincoln, Indiana Jones, Saving Private Ryan dan Schindler’s List.

Jaws, 1975

Filem adaptasi novel yang turut berjudul Jaws mengisahkan seekor ikan jerung putih atau ‘Great White Shark’ menyerang pengunjung di pantai Pulau Amity.

Menampilkan pelakon Roy Scheider, Robert Shaw dan Richard Dreyfuss, filem genre thriller itu meraih kutipan pecah panggung mencecah RM1.7 bilion.

Sepanjang penggambaran, Spielberg terpaksa membuat rakaman berdasarkan perspektif haiwan itu berikutan jerung mekanikal yang dibina kerap rosak.

Biarpun menerima sambutan luar biasa, tahap keganasan jerung yang dipaparkan menyebabkan ramai takut ke pantai kerana kuathir diserang haiwan terbabit.

Diangkat filem paling hebat dalam sejarah industri perfileman antarabangsa, Jaws turut menimbulkan persepsi negatif penonton terhadap jerung yang menganggap haiwan itu mengancam hidup manusia semata-mata.

Close Encounters of the Third Kind, 1977

Filem fiksyen sains ini mengutip jualan Box Office sebanyak RM1.1 bilion mengisahkan perubahan kehidupan seorang lelaki selepas bertemu makhluk asing.

Ia membariskan pelakon Richard Dreyfuss, Francois Truffaut, Melinda Dillon, Teri Garr, Bob Balaban dan Cary Guffey.

Banyak babak Close Encounters of the Third Kind diadaptasi daripada filem Firelight yang diarahkan Spielberg ketika berusia 17 tahun.

Bagi menghidupkan karakter makhluk asing yang bertubuh kecil, Spielberg menggunakan kanak-kanak perempuan berusia lapan hingga 12 tahun kerana gerak-geri lebih lembut berbanding lelaki.

Selain itu, Guffey berjaya memberi lakonan hebat sehingga hanya membuat dua kali rakaman bagi setiap babak.

Indiana Jones: Raiders of the Lost Ark, 1981

Seperti Jurassic Park, filem Indiana Jones turut mempunyai pengikut tersendiri dengan kemunculan sekuel pertama Raiders of the Lost Ark yang dibintangi pelakon hebat, Harrison Ford.

Susulan itu, tiga lagi sekuel Indiana Jones dihasilkan iaitu Temple of Doom (1984), Indiana Jones and the Last Crusade (1989) dan Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull (2008).

Selain itu, siri drama televisyen berjudul The Young Indiana Jones Chronicles ditayangkan pada 1992 hingga 1996.

Jalan penceritaan Raiders of the Lost Ark diilhamkan pengarah dan produser terkenal, George Lucas dan Philip Kaufman.

Sebenarnya, babak popular filem itu yang menyaksikan Indiana menembak seorang penjahat bersenjatakan pedang tiada dalam skrip asal.

Ini kerana pada asalnya, Ford dikehendaki merampas pedang itu dari penjahat terbabit menggunakan cambuk. Namun, aksi itu terpaksa dibatalkan selepas beberapa kali mencuba berikutan Ford mengalami keracunan makanan.

E.T. the Extra-Terrestrial, 1982

Lebih dikenali sebagai ET, filem lakonan Henry Thomas, Dee Wallace, Robert MacNaughton dan Drew Barrymore ini ‘meletup’ di pawagam seluruh dunia, sekali gus menewaskan Star Wars Episode IV: A New Hope dan diangkat karya paling laris dalam sejarah industri perfileman selama 11 tahun dengan kutipan jualan RM2.89 bilion.

Konsep menghasilkan filem mengetengahkan makhluk asing itu berdasarkan pengalaman Spielberg mereka rakan khayalan selepas ibu dan bapanya bercerai pada 1960.

Dalam filem itu, satu daripada makhluk asing ditinggalkan oleh spesiesnya ketika meninggalkan bumi dalam keadaan tergesa-gesa.

Ia kemudian berkenalan dengan seorang kanak-kanak lelaki yang kesunyian selepas ibu bapanya bercerai.

Dalam satu wawancara, Spielberg mendedahkan ET sejenis makhluk asing yang merupai tumbuhan dan tiada jantina.

Schindler’s List, 1993

Filem ini ditulis Steven Zaillian berdasarkan kisah novel Schindler’s Ark nukilan Thomas Keneally.

Ia menceritakan mengenai kehidupan usahawan Jerman, Oskar Schindler yang menyelamatkan lebih 1,000 pelarian Yahudi-Poland dengan mengupah mereka bekerja di kilangnya ketika Perang Dunia Kedua.

Watak Schindler dibintangi pelakon Liam Neeson dan Spielberg dikatakan enggan menerima sebarang bayaran untuk mengarahkan filem berkenaan.

Beliau kemudian menyumbangkan pendapatannya kepada Yayasan Shoah.

Jurassic Park, 1993

Mengisahkan sekumpulan pengunjung diserang dinosaur klon di taman tema Isla Nublar. Filem ini berdasarkan novel nukilan penulis Michael Crichton yang diterbitkan pada 1990.

Dibintangi pelakon Sam Neill, Laura Dern dan Jeff Goldblum, ia menerima sambutan memberangsangkan di seluruh dunia selain menerima pujian di atas teknik kesan visual yang digunakan.

Di sebalik kutipan jualan yang mencecah RM3.67 bilion, penggambaran filem itu berdepan beberapa masalah apabila model dinosaur T-Rex kerap gagal berfungsi akibat terkena hujan.

Berikutan impak filem dan novel Jurassic Park menyebabkan berlakunya pertambahan bilangan pelajar mempelajari bidang Paleontologi.

A.I. Artificial Intelligence, 2001

Satu lagi filem sains fiksyen Spielberg dan kali ini karya berkenaan membawa penonton ke masa depan dengan mengetengahkan robot android menyerupai kanak-kanak sebagai subjek cerita.

Menariknya, andriod terbabit mampu mempunyai perasaan kasih sayang.

Ketika penggambaran, pelakon Haley Joel Osment mencadangkan supaya wataknya sebagai David tidak mengelipkan mata.

Spielberg bersetuju dan turut mencadangkan semua android turut tidak mengelipkan mata, namun beberapa daripada robot itu didapati melakukan perbuatan itu.

Bagi menampakkan dirinya merupai robot android, Osment dikatakan mencukur bulu di beberapa anggota badannya setiap hari.

Lincoln, 2012

Berdasarkan kisah bekas Presiden Amerika Syarikat Abraham Lincoln, watak tokoh politik itu dijayakan Daniel Day-Lewis manakala Sally Field sebagai Mary Todd Lincoln.

Spielberg dikatakan menghabiskan masa 12 tahun untuk melakukan kajian mengenai latar belakang presiden itu sebelum menghasilkan filem berkenaan.

Beliau turut menghasilkan semula kertas dinding dan buku sama seperti dalam rumah agam Lincoln.

Selain itu, jam sama yang dipakai ­Lincoln pada hari kejadian beliau dibunuh turut direka semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:26 AM