Oleh Nor Akmar Samudin


Bintang Bollywood, Anil Kapoor tidak sabar untuk berkunjung ke negara ini sempena malam kemuncak Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa 2015 (IFFA2015) di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur , 7 Jun depan.

Kunjungan sulungnya ke Malaysia ialah bulan lalu bersama aktres, Bipasha Basu ketika sidang media IIFA2015 di Kuala Lumpur.

Kali pertama menjejakkan kaki ke negara ini, Anil amat teruja dengan keindahannya apatah lagi dia mempunyai ramai peminat di sini.

Apabila Anil diberitahu IFFA2015 akan diadakan di Malaysia, dia mengambil inisiatif untuk mengetahui perkembangan industri filem negara ini dan berharap dapat berkenalan dengan pelakon tempatan.

“Industri filem Malaysia juga sangat bagus dan saya teringin untuk berkenalan dengan pelakon negara ini,” katanya kepada RAP dalam temubual menerusi telefon, kelmarin.

Anil berkata, IFFA adalah acara penting untuk penggiat filem Bollywood dan setiap orang mesti meraikannya.

“Ia ibarat perayaan terbesar yang lebih hebat daripada sambutan Krismas dan Deepavali. Sejak bermula era filem Bollywood pada 1950-an dan 1960-an, ia terus berkembang pesat dan filem yang diterbitkan semakin berkualiti.

“Kelahiran ramai produser, pengarah dan pelakon baru terus menyemarakkan lagi filem Bollywood dan saya tidak kisah langsung bekerja dengan orang baru kerana mereka menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang sangat bagus. Mereka juga berdisiplin dan saya suka dengan kerja mereka,” katanya.

Kewujudan IIFA sejak 16 tahun lalu yang penganjuran pertamanya di London pada 2000 menguatkan lagi jenama Bollywood dan menariknya setiap tahun IFFA diadakan di luar India.

Penganjuran IIFA kali ketiga pada 2002 diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands yang menyaksikan kemenangan filem Lagaan, lakonan Aamir Khan.

Selain malam kemuncak pada 7 Jun, IFFA2015 yang berlangsung selama tiga hari bermula dengan konsert IIFA Rock membabitkan artis Bollywood terkenal di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 Jun ini.

Keesokannya akan diadakan tayangan gala filem pecah panggung Dil Dhadakne Do arahan Zoya Akhtar dibintangi Anil, Ranveer Singh, Priyanka Chopra, Shefali Shah, Farhan Akhtar dan Anushka Sharma.

Antara pelakon yang mengesahkan kedatangan mereka ke IIFA tahun ini ialah Dia Mirza, Sridevi, Parineeti Chopra, Arjun Kapoor, Boney Kapoor, Fawad Khan dan Jacqueline Fernandez .

Anil yang tidak dapat turut serta ketika IFFA di London dan Genting Highlands kerana terikat dengan urusan kerja akan melapangkan jadualnya dan sudah tidak sabar untuk meraikannya tahun ini.

Anil yang kini menjangkau usia 59 tahun berkata, komitmen kerjanya sejak muda sehingga kini tidak pernah berubah.

“Saya bekerja keras untuk berjaya dan sikap itu terus terbawa-bawa sehingga sekarang. Saya tidak ada ‘kehidupan malam’ bagi memastikan saya boleh bangun awal pagi untuk ke lokasi penggambaran filem. Saya juga menjaga pemakanan dan bersenam.

“Selama 36 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah puas dan sentiasa bersedia untuk memegang pelbagai watak,” katanya.

Selain Bollywood, Anil turut mencipta nama di Hollywood dan pernah membintangi filem seperti Slumdog Millionaire dan Mission: Impossible-Ghost Protocol bersama Tom Cruise.

Maklumat lanjut mengenai IFFA2015, layari laman web www.iifa.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:29 AM